Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hazim mara ke peringkat akhir; setapak lagi ke arah 2 pingat emas untuk silat

Dua pingat gangsa sudahpun dalam genggaman pasukan silat Singapura bagi acara tanding dengan seorang lagi pesilat kini berpeluang untuk meraih pingat emas selepas mara ke peringkat akhir siang tadi (4 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:

SUBIC BAY: Dua pingat gangsa sudahpun dalam genggaman pasukan silat Singapura bagi acara tanding dengan seorang lagi pesilat kini berpeluang untuk meraih pingat emas selepas mara ke peringkat akhir siang tadi (4 Dis).

Dua srikandi negara Atiq Syazwani Roslan dan Nurul Suhaila Mohamed Saiful kecundang dalam pertarungan separuh akhir masing-masing bagi Kelas A (45-50kg) dan Kelas B (50-55kg).

Atiq Syazwani diberi anjakan semangat daripada jurulatih Muhd Fiqri.

Suhaila terpaksa bertarung dalam Kelas B kerana Kelas D (60-65kg) tidak dipertandingkan kali ini.

Sungguhpun demikian mereka berdua tetap akan membawa pulang pingat gangsa kerana tiada pertarungan bagi tempat ketiga mahupun keempat berdasarkan format pertandingan sedia ada.

Pendekar negara Muhammad Hazim Mohamad Yusli pula memastikan Singapura sekurang-kurangnya meraih pingat perak setelah menewaskan Hidayat Limonu dari Indonesia di gelanggang Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay.

BERJAYA TEBUS MARUAH

Kali terakhir mereka bersemuka di medan pertarungan yang sama adalah di Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Sedunia Ogos lalu di mana pesilat dari Singapura itu tumpas di tangan seterunya itu.

Dalam pertarungan sebelum Sukan SEA pada bulan lalu, Hazim tidak berkesempatan untuk masuk gelanggang yang sama dengan Hidayat kerana terpaksa mengundurkan diri disebabkan oleh kecederaan pada kaki kanannya.

Mujur gilirannya tiba di Filipina dalam penampilan sulung beliau di temasya sukan serantau ini.

"Dulu saya pernah kalah dengan dia tapi sekarang saya dapat baca game plan dia. Dan tebus kekalahan saya!" luah Hazim penuh keriangan.

Rentak pertarungan pada mulanya agak perlahan dengan kedua-dua pesilat saling memerhatikan gerak-geri antara satu sama lain.

Namun para penonton disajikan dengan pertarungan yang lebih sengit dan mendebarkan apabila melangkah ke babak kedua sedang kedua-dua pesilat mula melepaskan tendangan yang menepati sasaran.

Baru 20 saat menginjak ke pusingan tersebut, Hazim berjaya menumbangkan lawannya untuk mendahului pertarungan 5-0.

Bagaimanapun, Hidayat bertindak balas dengan melepaskan tendangan dan tumbukan untuk merebut mata dan mendahului pusingan berkenaan 3-2.

Ini bagaimanapun tidak melemahkan semangat juang pesilat muda Singapura yang sebaliknya dengan tangkas mengatur serangan demi serangan 25 saat sejak pusingan terakhir bermula.

Dengan Hazim kini mendahului 4-1, beliau terus menyusun langkah untuk mengukuhkan kelebihan itu.

Ternyata strategi pendekar yang baru berusia 17 tahun itu berhasil. Hazim terus fokus dan berjaya mengelakkan sebarang kesilapan sehingga gong dibunyikan.

"Alhamdulillah saya dapat menang pertarungan tadi. Saya amat bersyukur dan amat berpuas hati kerana saya ikut game plan saya," kongsi beliau.

PERNAH MENANG

Calon Singapura untuk meraih pingat emas itu akan bertarung dengan Nguyen Dinh Tuan dari Vietnam di peringkat akhir yang akan berlangsung pada Jumaat (6 Dis).

Berkongsi dengan BERITAmediacorp tentang persiapan menjelang pertarungan peringkat akhir itu, Hazim berkata beliau tidak gentar untuk masuk gelanggang yang sama dengan jaguh Vietnam itu kelak.

"Cara Vietnam main agak begitu baik tapi saya pernah lawan dia. Sudah dua kali saya kalahkan dia," kata beliau.

Meskipun begitu, tambahnya, ia bukan "full game" dalam kedua-dua pertemuan itu, memandangkan pesilat Vietnam tersebut terpaksa mengundur diri disebabkan oleh kecederaan.

Hazim kini tidak sabar untuk menunjukkan taring dan mendapatkan pingat emas pertamanya dalam penampilan sulung di Sukan SEA.

"Waktu pertarungan akhir nanti, saya akan menang dengan sebetul-betulnya," ikrar juara dunia itu.

LAGI SATU EMAS

Pasukan Silat Singapura sejauh ini sudahpun menggondol satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa bagi edisi ke-30 temasya sukan itu.

Dengan sasaran dua pingat emas bagi menyaingi pencapaian dua tahun lalu, Hazim kini merupakan satu-satunya harapan negara untuk menepati sasaran tersebut.

Peluangnya bakal menyusul Jumaat ini, iaitu pada hari terakhir pertandingan pencak silat Sukan SEA ke-30 ini.

Ikuti liputan Mediacorp bagi Sukan SEA ke-30 dan dapatkan laporan paling meluas Team Singapore melalui empat saluran LIVE di Toggle. Lungsuri toggle.sg/seagames2019 bagi butiran lanjut.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan