Images
  • chelsea fc
    The Blues meraikan kemenangan mereka di perlawanan akhir Liga Europa antara Chelsea FC dengan Arsenal FC di Stadium Olimpik Baku di Baku, Azebaijian, pada 29 Mei 2019. (Gambar: AFP)

Hazard sumbat 2 gol sebagai hadiah perpisahan

BAKU: Eden Hazard mengucapkan selamat tinggal kepada Chelsea dengan penuh gaya apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir Liga Europa awal pagi Khamis (30 Mei), sekaligus membantu The Blues menewaskan seterunya dari London iaitu Arsenal 4-1.

Perlawanan di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan, itu menyaksikan bekas penyerang Arsenal, Olivier Giroud, membuka tirai jaringan buat Chelsea pada minit ke-49.

Giroud menanduk masuk hantaran silang Emerson untuk menewaskan bekas penjaga gol Chelsea, Petr Cech, yang beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.

Pedro Rodriguez kemudian menggandakan jaringan The Blues pada minit ke-60 selepas menerima hantaran Hazard.

Hazard kemudian memastikan The Blues berada dalam keadaan selesa dengan menjaringkan gol ketiga perlawanan menerusi tendangan penalti pada minit ke-65.

Penalti diperoleh selepas Giroud dijatuhkan Ainsley Maitland-Niles.

Pemain gantian Arsenal, Alex Iwobi, berjaya menjaringkan satu gol buat The Gunners pada minit ke-69 menerusi rembatan jarak jauh namun kebangkitan Arsenal terbantut apabila Hazard menyumbat gol keempat Chelsea pada minit ke-72, hasil hantaran Giroud.

Kemenangan tersebut merupakan piala pertama dimenangi oleh pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, yang tidak digemari oleh kebanyakan penyokong The Blues.

Dengan kekalahan ini, Arsenal terlepas peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

- AFP/FZ/fz

Top