Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Harry Kane dinamakan sebagai kapten England bagi Piala Dunia

Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, akan menjadi kapten England dalam kejohanan Piala Dunia di Rusia bulan depan. Demikian diumumkan Persatuan Bola Sepak England hari ini (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Harry Kane dinamakan sebagai kapten England bagi Piala Dunia

(Gambar fail: Adrian Dennis/ AFP)

Diterbitkan : 22 May 2018 10:21PM Dikemas Kini : 22 May 2018 10:23PM

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, akan menjadi kapten England dalam kejohanan Piala Dunia di Rusia bulan depan. Demikian diumumkan Persatuan Bola Sepak England hari ini (22 Mei).

Gareth Southgate yang mengambil alih sebagai pengurus pasukan England pada 2016, memutuskan Kane bakal mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Pemain bola sepak berusia 24 tahun itu menjaringkan 12 gol dalam 23 perlawanan antarabangsa. Kane pertama kali menjadi kapten pasukan dalam pusingan kelayakan menentang Scotland pada Jun lalu dan beliau mengetuai pasukan itu dalam tiga lagi pertarungan lain.

Southgate, yang mengumumkan keputusannya itu semasa mesyuarat di padang latihan pasukan England semalam (21 Mei), berkata: "Harry mempunyai ciri-ciri peribadi yang menyerlah. Beliau seorang pemain yang sangat teliti dan salah satu ciri paling penting bagi seseorang kapten adalah mereka perlu menetapkan piawai pasukan.

"Beliau mempunyai azam dan piawai yang tinggi. Ini mesej yang penting bagi pasukan (England) untuk mempunyai seorang kapten yang sudah membuktikan bahawa beliau mampu menjadi antara yang terbaik di dunia secara konsisten."

Kane mula menempa nama dalam persada antarabangsa apabila beliau menjaringkan gol pantas, iaitu hanya 79 saat setelah wisel permulaan ditiup semasa kemunculan sulungnya menentang Lithuania pada 2015.

Southgate dan Kane muncul dalam satu rakaman video secara langsung yang dimuat naik di akaun rasmi Twitter pasukan England tidak lama selepas pengumuman rasmi pemilihan Kane selaku kapten.

"Ia satu penghargaan luar biasa," kata Kane. "Sudah tentu seseorang mengimpikan untuk bermain dalam pasukan England semasa membesar. Menjadi seorang kapten, lebih lagi.

"Sangat teruja, tentu sekali untuk Piala Dunia. Saya tidak sabar untuk berada di padang dan merasakannya. Memimpin anggota lain dalam pasukan sesuatu yang istimewa. Bagi saya, tiada apa yang berubah - saya tetap orang yang sama, pemain yang sama, dan ia hanya tentang pasukan ini. Kami perlu lakukan yang terbaik."

Rakan sepasukan Kane dalam Spurs, Eric Dier dan kapten Liverpool, Jordan Henderson, sebelum ini merupakan calon yang lebih berkemungkinan dipilih menjadi kapten England.

Bintang menyerlah itu, dalam pasukan yang rata-rata dianggotai pemain baru, akan mengorak langkah ke Piala Dunia Rusia dengan yakin selepas beliau berjaya menjaringkan lebih 30 gol untuk kelab dan negaranya buat musim keempat berturut-turut.

Kane menyumbatkan 45 gol dalam 52 penampilan bersama Spurs dan England pada 2017-2018, kurang tiga gol berbanding Mohamed Salah daripada Liverpool yang merangkul Anugerah But Emas Liga Perdana.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan