Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Harimau Malaysia kembali mengaum, belasah Bhutan 7-0

Empat jaringan kapten pasukan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak membantu pasukan bola sepak Malaysia kembali mengecapi kemenangan dengan membelasah Bhutan 7-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Harimau Malaysia kembali mengaum, belasah Bhutan 7-0

Harimau Malaysia selepas perlawanan persahabatan dengan Bhutan. (Gambar: Harimau Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 02 Apr 2018 08:43AM Dikemas Kini : 02 Apr 2018 08:47AM

KUALA LUMPUR: Empat jaringan kapten pasukan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak membantu pasukan bola sepak Malaysia kembali mengecapi kemenangan dengan membelasah Bhutan 7-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam (1 Apr).

Keputusan cemerlang itu lantas menamatkan badi skuad Harimau Malaysia 12 perlawanan tanpa kemenangan. Kali terakhir pasukan tersebut mencatatkan kemenangan adalah pada November 2016 ke atas Kemboja dalam perlawanan Piala AFF 2016.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang mempamerkan aksi yang kemas dan berdisiplin sepanjang perlawanan itu, berjaya membuka jaringan ke atas pasukan yang dibarisi oleh pemain semi-pro pada minit ke-11, dengan tandukan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran Mohd Zaquan.

Lapan minit kemudian, Mohd Zaquan menggandakan jaringan menerusi tendangan penalty. Rakan sepasukan, Muhammad Irfan Zakaria pula menanduk masuk bola tendangan sudut daripada Wan Zack pada minit ke-27.

Pada minit ke-36 pula. Mohd Zaquan meraih satu lagi gol apabila penjaga gawang Bhutan, Kinzang Gyeltshen gagal menepis tendangannya. Pasukan yang menduduki tempat ke-188 di dunia tersebut baru-baru ini turut dibelasah 7-0 oleh Maldives dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019, Rabu lalu (28 Mar).

Mohd Zaquan melengkapkan ‘hat-trick’ tiga minit kemudian, apabila barisan pertahanan Bhutan, yang terus mempamerkan corak permainan bertahan, gagal mengeluarkan bola ketika suasana kelam kabut di dalam kotak penalti, sebelum Mohd Zaquan menendang masuk bola ke dalam gawang.

Bermula pada babak kedua, skuad Harimau Malaya terus menunjukkan taring, apabila penyerang berusia 30 tahun itu sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-54, dengan menendang masuk hantaran silang Nazirul Naim Che Hashim, sebelum beliau digantikan oleh Mohd Noor Hakim Hassan.

Gol terakhir perlawanan dijaringkan oleh Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-74, yang menanduk masuk bola daripada tendangan sudut untuk mencatatkan kemenangan pertama buat skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, sejak menewaskan Thailand 3-2 pada final Piala AFF 2014, walaupun tewas 4-3 berdasarkan keputusan agregat.

Ia juga merupakan kemenangan pertama buat Cheng Hoe, selepas mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada Disember lalu apabila Nelo Vingada meletakkan jawatan.

Dalam dua perlawanan di bawah kendalian Cheng Hoe, Malaysia mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 22 Mac lalu, sebelum tewas 1-2 kepada Lubnan di Beirut dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lalu (27 Mar).

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan