Images
  • football association malaysia
    Lambang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) (Gambar: BERNAMA)

Harimau Malaya fokus sasaran baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akan memberi tumpuan kepada baki tiga perlawanan pusingan kedua Kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata pembatalan Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki pada tahun ini ekoran pandemik COVID-19, memudahkan jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk merangka persiapan terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Cheng Hoe dijangka akan memanggil pemain terlibat untuk mengikuti sesi latihan pusat pada pertengahan September ini, sebelum berdepan Bahrain pada aksi pemanas badan di padang lawan pada awal Oktober.

"Selepas aksi pemanas badan menentang Bahrain, skuad kebangsaan akan terbang ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk berdepan pasukan tuan rumah dalam pusingan kedua kelayakan pada 8 Okt di tempat lawan.

"Kita akan kembali ke tanah air untuk aksi persahabatan menentang Kuwait di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November nanti, namun saya dimaklumkan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih memantau situasi semasa pandemik COVID-19 sebelum membuat keputusan lanjut berhubung kebenaran untuk mengadakan aksi persahabatan berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini (31 Jul).

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memandangkan penangguhan saingan Piala AFF Suzuki bakal memberi kesan kepada kepadatan jadual kalendar bola sepak tempatan pada musim hadapan.

Berdasarkan perancangan asal, AFF bercadang untuk menganjurkan saingan Piala AFF Suzuki dari 23 Nov hingga 31 Dis ini, dan masih mengekalkan format timbal balik yang diperkenalkan pada 2018.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala AFF Suzuki yang mengadakan mesyuarat secara dalam talian pada Jumaat, memutuskan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan kepada 2021 menyusuli peningkatan pada kes COVID-19 di peringkat rantau ASEAN serta global.

Selepas aksi berdepan UAE di Dubai, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Okt, sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 Nov ini.

Malaysia kini berada dalam kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu perlawanan sementara pendahulu kumpulan, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

- BERNAMA/TQ/tq

Top