Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Harimau Malaya belasah Timor Leste dengan agregat 12-2

Penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan hat-trick ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 5-1 pada perlawanan kelayakan kedua dalam Pusingan Pertama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam (11 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Harimau Malaya belasah Timor Leste dengan agregat 12-2

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 12 Jun 2019 12:23PM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 12:30PM

KUALA LUMPUR: Penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan hat-trick ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 5-1 pada perlawanan kelayakan kedua dalam Pusingan Pertama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam (11 Jun).

Selepas mengalahkan pasukan yang sama 7-1 dalam aksi pertama pada Jumaat lepas, skuad Harimau Malaya sekali lagi mempamerkan prestasi mengagumkan pada perlawanan timbal balik, dengan rekod agregat 12-2 ke atas pasukan di ranking ke-195 dunia itu, sekali gus menceriakan 12,700 penonton.

Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe yang dijangka menurunkan barisan pemain baharu, selepas meraih kemenangan besar pada aksi pertama, hanya membuat empat pertukaran dengan membawa masuk penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, Muhammad Syazwan Andik (pertahanan), Muhammad Akhyar Rashid (pemain sayap) dan Muhammad Shahrel.

Pasukan ke-168 dunia itu bermula dengan baik selepas Muhammad Shahrel menjaringkan gol hasil hantaran Muhammad Akhyar pada minit ke-11 dan tandukan pemain Perak itu, pada minit ke-17.

Timor Leste mendapat peluang keemasan mengurangkan defisit jaringan apabila Mohd Ifwat menjatuhkan Rufino Walter Gama pada minit ke-29. Namun penjaga gol Kedah itu berjaya menebus kesilapannya apabila menyelamatkan tendangan penalti yang diambil kapten pasukan Joao Pedro da Silva Freitas.

Pemain rakyat baru pertama negara, Mohamadou Sumareh berjaya menamatkan kemarau jaringan beliau bersama pasukan negara, selepas menyudahkan hantaran lintang Muhammad Syazwan Andik pada minit ke-37, sebelum Muhammad Akhyar menambah derita Timor Leste dengan jaringan pada minit ke-54.

Sejurus gagal menyempurnakan tendangan penalti selepas Danilson Conceicao Araujo menjatuhkan Muhammad Akhyar, Muhammad Shahrel menebus kekecewaan itu dengan menjaringkan gol ketiga peribadinya pada minit ke-64, menerusi rembatan kaki kiri yang mengelirukan penjaga gol Fernandes Aderito Raul.

Timor Leste memperoleh gol sagu hati pada minit ke-72, melalui tandukan Rufino hasil serangan balas daripada gerakan Pedro.

Setakat ini kejayaan Malaysia menumpaskan Timor Leste 12-2 secara agregat itu, ialah kemenangan terbesar dalam aksi kelayakan pusingan pertama musim ini. Sebelum ini Guam berjaya menewaskan Bhutan 5-1 secara agregat.

“Secara keseluruhannya, sasaran kami adalah untuk layak ke peringkat seterusnya, dan kami berjaya mencapainya. Segala pengorbanan pemain ketika musim perayaan dan bulan Ramadan membuahkan hasil, mereka telah berikan yang terbaik.

“Tentunya pada hari ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain, sikap mereka memasuki perlawanan dan bermain dengan penuh konsentrasi. Kita perlu bersedia untuk perlawanan peringkat kumpulan berikutnya,” kata Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan.

Enam pasukan daripada pusingan pertama, termasuk Malaysia akan disertai 34 pasukan ranking tertinggi di Asia pada pusingan berikutnya, termasuk juara Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Pada pusingan kedua, dijadualkan September, 40 pasukan akan dicabut undi untuk dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan lima pasukan setiap satu. Hanya pemenang kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik, akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan juga slot automatik ke Piala Asia.

Undian pasukan bagi pusingan kedua dijadualkan diadakan di Doha, Qatar, bulan depan.

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan