Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hamilton menang mudah Grand Prix Belgium

Lewis Hamilton semakin menghampiri matlamatnya untuk menyamakan rekod pelumba legenda Formula One (F1) Michael Schumacher yang menjadi juara F1 sebanyak tujuh kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Hamilton menang mudah Grand Prix Belgium

Lewis Hamilton sambut kemenangan GP Belgium pada 30 Ogos 2020 (Gambar: Pool via REUTERS/John Thys)

Diterbitkan : 31 Aug 2020 10:11AM Dikemas Kini : 31 Aug 2020 10:24AM

SPA-FRANCORCHAMPS: Lewis Hamilton semakin menghampiri matlamatnya untuk menyamakan rekod pelumba legenda Formula One (F1) Michael Schumacher yang menjadi juara F1 sebanyak tujuh kali.

Ini selepas pelumba pasukan Mercedes dari Britain itu menjuarai Grand Prix Belgium pada Ahad (30 Ogos).

Hamilton yang mendahului persaingan sejak memulakan perlumbaan dari petak pertama terus memperlihatkan kehebatannya dengan mendahului setiap pusingan sehinggakan rakan sepasukan Valtteri Bottas gagal memintasnya sama sekali.

Sungguhpun demikian, isu tayar terus membelenggu Hamilton yang walaupun dinobat juara Grand Prix Britain baru-baru ini terpaksa menamatkan perlumbaan tersebut dengan tiga tayar saja.

Keprihatinan terhadap isu tayar kembali menghantui Hamilton dalam perlumbaan Grand Prix Belgium.

Namun kebimbangan itu terbukti tidak berasas apabila beliau berjaya melintasi garis penamat 8.4 saat lebih pantas daripada rakan sepasukan Bottas yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

"Saya menyedari bahawa tidak semestinya apa yang selalu diinginkan oleh orang ramai, iaitu Mercedes terus mendahului perlumbaan," kata Hamilton, yang kini dengan kelebihan 50 mata di hadapan Bottas dan 47 mata di hadapan pelumba Red Bull, Max Verstappen.

"Namun tidak kira berapa banyak kejayaan yang kita raih, kita mesti terus bersikap rendah diri."

Kemenangan Hamilton semalam adalah yang ke-89 dalam kerjayanya, meletakkan beliau semakin hampir dengan tujuh kejuaraan dunia yang diraih Michael Schumacher dan kurang dua kemenangan untuk menyaingi rekod 91 kemenangan yang draih oleh pelumba legenda Jerman itu.

Ia juga merupakan kemenangan kelima Hamilton dalam tujuh perlumbaan musim ini dan keempat dalam kerjayanya di litar Spa-Francorchamps.

FERRARI TERGAPAI-GAPAI

Sementara itu, Ferrari, yang menjuarai litar di Belgium itu sejak dua tahun lalu, menamatkan perlumbaan tanpa mengutip sebarang mata.

Sebastian Vettel, yang bakal meninggalkan Ferrari pada hujung tahun,menduduki tempat ke-13 yang kemudian disusuli oleh pemenang tahun lalu Charles Leclerc.

"Kita perlu berusaha mencari sesuatu (huraian) kerana jika berterusan seperti ini, amat sukar," kata Leclerc semasa mengulas prestasi pasukan Itali itu.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan