Images
  • lewis hamilton
    Lewis Hamilton raikan kemenangan GP Britain pada 14 Jul 2019 (Gambar: AFP)

Hamilton cipta rekod baru; juarai F1 Britain 6 kali

SILVERSTONE: Lewis Hamilton mengambil kesempatan daripada kehadiran kenderaan keselamatan pada Ahad (14 Jul) untuk menjuarai Grand Prix Britain buat kali keenam di litar perlumbaan Silverstone.

Juara dunia sebanyak lima kali itu mencatat masa terpantas pada pusingan terakhir dan beliau berjaya menamatkan perlumbaan 25 saat lebih pantas daripada rakan sepasukan Mercedes dan pesaing terdekat bagi kejuaraan musim ini Valtteri Bottas dalam perlumbaan penuh aksi semalam.

Pelumba kelahiran Britain itu kini berada 39 mata di hadapan pelumba Finland itu bagi kejuaraan musim ini.

Pelumba Ferrari, Charles Leclerc, menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan semalam.

Pierre Gasly menamatkan perlumbaan di tempat keempat di hadapan pelumba sepasukan Red Bull Max Verstappen. Perlumbaan Verstappen terjejas akibat perlanggaran antara beliau, Sebastian Vettel dari Ferrari dan Carlos Sainz dari McLaren.

Kemenangan Hamilton pada Ahad adalah yang ketujuh daripada 10 perlumbaan tahun ini dan ke-80 sepanjang kerjayanya. Sebelum ini beliau memegang rekod lima kemenangan di Grand Prix Britain bersama pelumba legenda Britain Jim Clark dan pelumba Perancis, Alain Prost.

Daniel Ricciardo dari Renault menduduki tempat ketujuh, di hadapan Kimi Raikkonen dari Alfa Romeo.

"Hari yang amat menakjubkan," ujar Hamilton. "Kepada para penonton, terima kasih tak terhingga kerana turun ke litar."

- AFP/TQ/tq

Top