Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Habil Hakim jurulatih tempatan pertama dilantik Pengarah Akademi Albirex Niigata

September lalu, Habil Hakim mencipta sejarah sebagai jurulatih tempatan pertama dilantik menjadi pengarah Akademi Bola Sepak Albirex di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Habil Hakim jurulatih tempatan pertama dilantik Pengarah Akademi Albirex Niigata

Pengarah Akademi Bola Sepak Albirex di Singapura Habil Hakim. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

SINGAPURA: September lalu, Habil Hakim mencipta sejarah sebagai jurulatih tempatan pertama dilantik menjadi pengarah Akademi Bola Sepak Albirex di Singapura.

Akademi bola sepak itu merupakan cabang latihan pembangunan kelab profesional Liga Perdana Singapura (SPL), Albirex Niigata Singapore FC.

Gambar ihsan: Habil Hakim

Sepanjang lebih 15 tahun sebelum ini, sejak kelab Jepun itu diundang untuk menyertai dan bertanding dalam Liga Singapura (S League) pada 2004, peranan jurulatih akademi bola sepaknya disandang oleh warga negara tersebut.

"Saya rasa amat rendah diri dan positif telah diamanahkan dengan tugas ini. Saya memahami betapa besarnya tanggungjawab saya dan jangkaan yang datang bersamanya," kongsi Habil bersama BERITAmediacorp.

Menurut jurulatih berusia 32 tahun itu, dia khususnya dilantik untuk merekrut dan mengembangkan lagi akademi tersebut sehingga menjadi yang terbaik di Singapura dan "mampu bersaing di ASEAN, Asia dan kemudiannya di peringkat antarabangsa."

Ini merupakan kali pertama Habil memimpin sebuah akademi kelab bola sepak profesional selepas lebih 10 tahun menempah nama dalam industri tersebut di akademi swasta.

Namun, bekas pemain skuad belia Tampines Rovers FC itu memang sudah terbiasa dengan budaya kerja para jurulatih dari Jepun.

Habil Hakim bergambar dengan pembimbingnya, Frank Kobayashi. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Sepanjang lima tahun sewaktu baru mula mengorak langkah dalam bidang kejurulatihan, Habil gigih berulang-alik ke Jepun untuk mengasah bakat sebagai jurulatih muda di Akademi Bola Sepak Shoot, yang ditubuhkan oleh pemain legenda Jepun, Kazushi Kimura.

Bahkan, bakat bapa dua orang anak itu terbukti menyerlah apabila ditawarkan kerja sebagai jurulatih di Jepun.

Namun, dia tidak berpeluang untuk merealisasikan undangan tersebut angkara COVID-19.

Sebaliknya, Habil berusaha memikirkan cara-cara inovatif untuk melatih anak-anak didiknya meskipun dibelenggu pandemik COVID-19 selain mengukuhkan lagi jenama dan minatnya dalam pembangunan belia di media sosial.

"Sejujurnya, saya rasa bukan sahaja kejayaan tetapi kegagalan di dalam dan luar padang telah membantu saya menduduki jawatan tinggi ini," kata Habil yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus Akademi Bola Sepak F17.

Habil Hakim bergambar dengan pembimbingnya, Frank Kobayashi. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Sebelum ini, Habil menyandang jawatan pengurus Akademi Bola Sepak F17. (Gambar: F17 Academy)

TERAPKAN SISTEM JEPUN

Matlamat Akademi Bola Sepak Albirex Singapore jelas.

Kata pengarahnya, Habil: "Kami mahu menjadi akademi terbaik yang menyediakan pendidikan bola sepak dan pengajaran kehidupan yang terbaik bagi para belia."

Untuk mencapai matlamat tersebut, "sistem Jepun" menekankan betapa pentingnya kerja keras dan teknik pengawalan bola dalam kalangan pemain.

Bagi para jurulatih pula, perlu wujud persekitaran yang bertenaga dengan perbincangan tentang bola sepak dan bagaimana untuk memperbaikinya, terang Habil.

Ciri-ciri tersebut menurutnya, membezakan akademi bola sepak itu daripada akademi-akademi lain.

Gambar ihsan: Habil Hakim

"Pengalaman sistem Jepun akan memanfaatkan para jurulatih dan pemain lebih-lebih lagi kerana Jepun sudah berkali-kali melayakkan diri ke Piala Dunia dan melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia," tambah Habil.

Memandang ke hadapan, jurulatih itu berharap prestasi bola sepak Singapura dapat terus diperbaiki sehingga mampu menjadi pasukan yang disegani di Asia Tenggara dan bersaing dengan gergasi-gergasi Asia yang lain.

"Ia amat memberangsangkan jika kita dapat melihat para pemain Singapura mewakili pasukan luar negara dan memberi inspirasi kepada satu sama lain dengan kisah kejayaan mereka." 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan