Images
  • lim baoying
    (Gambar: Facebook/Standard Chartered Singapore Marathon)

Guna bahan terlarang, pelari maraton Lim Baoying digantung hampir 4 tahun

SINGAPURA: Peserta yang meraih tempat pertama dalam kategori wanita bagi acara larian Maraton Standard Chartered Singapore 2018 telah diharamkan daripada menyertai perlumbaan selama tiga tahun dan sembilan bulan.

Larangan itu dikeluarkan oleh Unit Integriti Atletik Persekutuan Persatuan Atletik Antarabangsa
(IAAF).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (15 Mei), unit IAAF tersebut menyatakan bahawa Lim Baoying ‘tidak mempunyai alasan’ untuk menggunakan modafinil, sejenis bahan yang diharamkan oleh IAAF.

Beliau mendapat tempat pertama dalam kategori wanita selepas melepasi garis penamat dalam masa sekitar 3 jam 15 minit.

Selain digantung, kemenangan Lim dalam acara maraton itu juga akan dibatalkan.

Menurut Lim, beliau menggunakan ubat itu pada sebelah pagi acara tersebut tanpa menimbangkan senarai bahan terlarang.

Lim, seorang doktor di Pusat Perubatan Sukan Changi, menegaskan bahawa ubat itu membantunya melawan rasa mengantuk sebelum perlumbaan bermula.

- CNA/AY/TQ/tq

Top