Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Guardiola kecewa terhadap dakwaan Klopp 'lebih banyak waktu rehat' untuk Man City

Pep Guardiola kecewa dengan sindiran bos Liverpool Jurgen Klopp yang mendakwa Manchester City mendapat lebih waktu rehat disebabkan oleh penularan COVID-19 di kelab pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu pada Disember lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Guardiola kecewa terhadap dakwaan Klopp 'lebih banyak waktu rehat' untuk Man City

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Feb 2021 09:42AM Dikemas Kini : 06 Feb 2021 09:46AM

LONDON: Pep Guardiola kecewa dengan sindiran bos Liverpool Jurgen Klopp yang mendakwa Manchester City mendapat lebih waktu rehat disebabkan oleh penularan COVID-19 di kelab pendahulu Liga Perdana England (EPL) itu pada Disember lalu.

City kembali menduduki tangga teratas EPL dengan kelebihan tujuh mata ke atas Liverpool yang menghuni tangga keempat menjelang perlawanan antara kedua-dua pasukan itu di Anfield esok.

Klopp menyalahkan tahap kecergasan mental dan fizikal Liverpool sebagai punca yang menyebabkan anak didiknya tewas 1-0 kepada Brighton Rabu lalu, yang memanjangkan lagi tempoh tanpa kemenangan Liverpool di padang sendiri kepada empat perlawanan.

"Kami belum mempunyai masa untuk berehat. Saya rasa City mempunyai tempoh rehat selama dua minggu akibat COVID-19.

"Ia amat sukar, musim yang sukar buat semua pasukan," kata Klopp.

Perlawanan City menentang Everton pada 28 Disember lalu terpaksa ditunda akibat kes positif dalam pasukan kendalian Guardiola itu.

City tidak bermain selama seminggu antara kemenangannya semasa menentang Newcastle pada 26 Disember dengan perlawanan menewaskan Chelsea 3-1 pada 3 Januari, dengan City mendakwa ia kehilangan ramai pemain utama ketika itu.

Sungguhpun demikian, gangguan itu tidak menghambat City daripada mencipta rekod baru bagi kelab tersebut setelah meraih 13 kemenangan dalam semua pertandingan.

"Jurgen perlu meneliti semula kalendar. Kami dilanda COVID-19, seminggu rehat, dan bermain dengan 14 pemain di Stamford Bridge.

"Apabila saya bertemu dengan Jurgen nanti, mungkin saya akan menanyakannya tentang perkara tersebut. Saya terkejut. Saya sangka Jurgen bukan pengurus seperti itu," kata Guardiola.

Guardiola menyasar untuk mencatat kemenangan pertamanya sebagai jurulatih di Anfield dan kemenangan pertama City di padang lawan itu sejak tahun 2003.

Liverpool dijangka akan membariskan penjawa gawang Alisson Becker, Fabinho dan Sadio Mane, yang terlepas turun padang dalam perlawanan menentang Brighton.

Ben Davies dan Ozan Kabak juga dijangka akan membuat penampilan sulung masing-masing selepas menyertai Liverpool pada hari terakhir tempoh pemindahan pemain pada Isnin lalu. 

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan