Images
  • mohamed salah
    (Gambar: REUTERS/Pedro Nunes)

Gol Salah akan dikenang dalam 50 tahun, kata Klopp

LIVERPOOL: Gol tendangan Mohamed Salah yang membantu Liverpool seri 2-2 dengan Manchester City pada Ahad (4 Okt), akan terus disebut-sebut sehingga setengah abad lagi, puji pengurusnya Juergen Klopp.

Salah, yang membuka laluan kepada gol pertama oleh Sadio Mane, mengembalikan kedudukan Liverpool kepada 2-1 setelah membolosi Joao Cancelo, meninggalkan Bernardo Silva tergolek dan menggelecek melepasi Aymeric Laporte sebelum melakukan tendangan tepat dengan kaki kanan.

"Hanya pemain terbaik di dunia saja yang mampu menjaringkan gol hebat seperti itu. Sentuhan pertama yang menakjubkan, cara dia merampas bola, mengawalnya dengan kaki kanan dan kemudian caranya menyempurnakan jaringan gol tersebut. Memang sungguh luar biasa," puji Klopp.

"Oleh kerana kelab ini tidak pernah melupakan apa-apa, orang ramai akan terus menyebut-nyebut gol ini untuk jangka yang panjang, dalam 50, 60 tahun, ketika mereka mengingati perlawanan ini," tambahnya.

Klopp mencadangkan Salah, yang menjaringkan enam gol daripada tujuh perlawanan pembukaan Liga Perdana, berhak mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi atas mutu serangannya.

Salah sendiri seperti tidak begitu mengingati perincian gol tersebut, berdasarkan ulasannya selepas perlawanan.

"Saya harus menontonnya untuk melihatnya (dengan teliti). Saya ingat. Adalah lebih istimewa jika ia (gol itu) memenangi perlawanan, tetapi ia sudah terjadi. Ini keputusannya. Saya fikir ia adalah gol yang baik, tidak banyak yang boleh saya dikatakan," katanya.

- Reuters/TQ/tq

Top