Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Geran baru S$13.5 juta bantu tampung kos operasi akademi, pengendali kemudahan sukan

Syarikat-syarikat perniagaan sukan boleh memanfaatkan geran baru bernilai S$13.5 juta untuk menampung kos operasi di bawah langkah-langkah bantuan terkini untuk sektor sukan yang terjejas oleh COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Geran baru S$13.5 juta bantu tampung kos operasi akademi, pengendali kemudahan sukan

Perlawanan semasa SPL 2019 antara Hougang United dengan Tampines Rovers (Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 07:53PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 07:55PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat perniagaan sukan boleh memanfaatkan geran baru bernilai S$13.5 juta untuk menampung kos operasi di bawah langkah-langkah bantuan terkini untuk sektor sukan yang terjejas oleh COVID-19.

Geran operasi Pakej Daya Tahan Sukan akan membantu sehingga 150 perniagaan sedemikian, yang merangkumi kelab dan akademi privet serta pengendali liga dan kemudahan sukan, untuk terus beroperasi sambil meneroka dan beralih ke model perniagaan baru.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan memberikan geran yang setara dengan sekitar 25 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi perniagaan tersebut, dihadkan kepada S$15,000 sebulan, dari Oktober 2020 hingga Mac 2021.

Geran tersebut adalah sebahagian daripada langkah bantuan tambahan untuk sektor kesenian, budaya dan sukan yang diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di Parlimen pada Khamis (15 Apr).

"Geran ini juga akan memastikan perniagaan sukan kritikal kita yang menyumbang kepada pembangunan dan latihan atlit kita tidak gulung tikar disebabkan oleh pandemik ini, tidak meminggirkan program yang tersedia untuk atlit, yang membolehkan para atlit meraih manfaat daripada program latihan terbaik," kata Encik Tong.

MCCY dalam satu lembaran fakta pada Khamis menyatakan bahawa perniagaan sedemikian mesti menunjukkan mereka bekerja rapat dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) untuk menyumbang kepada pembangunan atlit, dan/atau adalah pemain utama dalam ekosistem ini, untuk layak menerima geran.

"PERALIHAN DIGITAL GENTING"

Tambahan S$9 juta akan diperuntukkan bagi membina keupayaan, termasuk sokongan dana untuk lebih banyak syarikat yang ingin menganjurkan acara sukan hibrid dalam dan luar talian dan meningkatkan kemahiran digital mereka.

Ini akan membolehkan pengendali acara, syarikat pengurusan acara serta akademi dan kelab privet yang layak untuk lebih kerap mengembangkan program hibrid yang membolehkan lebih ramai warga Singapura bersukan.

"Beberapa bulan yang lalu menunjukkan bahawa peralihan digital sangat genting. Ini membolehkan perniagaan dan pekerja bebas kita mendampingi lebih ramai orang dan dengan cara yang lebih meluas, yang membolehkan kandungan bermutu tinggi diterbitkan dan juga tahap interaktiviti yang tinggi walaupun anda berhubungan menerusi dua skrin," kata Encik Tong.

MCCY menyatakan pihaknya merancang untuk menyokong lebih 100 projek, yang melibatkan sekitar 450,000 peserta, dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan