Images
  • vettel (1)
    (Gambar: Paul Chiasson/The Canadian Press via AP)

Formula 1: 'Kami menang', kata ketua Ferrari sedang Mercedes raikan kejuaraan

MONTREAL: Ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto mengisytiharkan kemenangan Sebastian Vettel dan pasukannya di Grand Prix Kanada biarpun keputusan menyaksikan pegawai perlumbaan mengenakan penalti lantas memberi kemenangan kepada Lewis Hamilton.

“Bukan untuk kami putuskan dan sukan ini adalah begini,” katanya. “Semua orang percaya Sebastian menang.”

“Beliau tidak mempunyai sebarang niat tidak baik. Beliau berada di depan sepanjang perlumbaan, melepasi bendera penamat dahulu. Beliau pemenangnya dan kami, sebagai satu pasukan, kami memberikan saingan sebaik mungkin. Dan kami tahu kelemahan kami. Musim ini belum tamat lagi.”

Ketika perlumbaan yang menimbulkan kontroversi di Litar Gilles Villeneuve, Binotto tetap tenang.

Hamilton disahkan pemenang selepas Vettel yang tiba lebih awal di garisan penamat dikenakan penalti lima saat atas alasan menyebabkan lawannya terbabas ketika pusingan ke-50.

“Di mana lagi saya boleh pergi?” bantah Vettel. "Mereka mencuri perlumbaan daripada kami."

“Kami perlu melihat semua data sebelum membuat keputusan sendiri. Beliau memandu laju di setiap selekoh dan tayar berada di tepi garisan. Tidak ada apa yang boleh kami lakukan apabila ia termasuk ke kawasan rumput,” kata Binotto.

“Semua orang perlu bertenang dalam beberapa jam. Kerja kami adalah untuk perbaiki kereta. Hari ini, kami menang. Kami adalah terpantas di litar dan itu adalah penting.

“Bagus dapat melihat Seb mempunyai kemahuan dan dia masih memburu kejayaan. Kami semua memburu kejayaan.”

Bos Mercedes, Toto Wolff pula meluahkan simpati terhadap Vettel tetapi tetap gembira meraikan kejayaan ketujuh pasukannya musim ini.

Vettel bagaimanapun enggan menghadiri sidang media selepas perlumbaan tetapi kembali ke majlis penyampaian pingat selepas dipujuk oleh pasukannya. 

- AFP/NA/na

Top