Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Format kalah mati Piala Malaysia bakal sajikan saingan sengit 16 pasukan

Format kalah mati yang digunakan pada saingan bola sepak Piala Malaysia yang bermula pada 6 Nov ini bakal menjanjikan saingan sengit bagi 16 pasukan yang terlibat.

Anggaran Waktu Membaca:
Format kalah mati Piala Malaysia bakal sajikan saingan sengit 16 pasukan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 10:46PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 10:49PM

KUALA LUMPUR: Format kalah mati yang digunakan pada saingan bola sepak Piala Malaysia yang bermula pada 6 Nov ini bakal menjanjikan saingan sengit bagi 16 pasukan yang terlibat.

Saingan tersebut akan melibatkan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier.

Jurulatih veteran Irfan Bakti Abu Salim melihat keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggunakan format kalah mati pada saingan kali ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi turut memastikan semua perlawanan dapat berjalan seperti dirancang.

“Format baharu itu bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana maksimum hanya empat perlawanan sahaja akan dilalui mana-mana pasukan yang akan ke perlawanan akhir.

“Harus diingat, pasukan pasti lagi bermotivasi mahu menjuarai Piala Malaysia kerana bakal menawarkan (satu) tempat ke Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) pada tahun depan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini(28 Okt).

Irfan Bakti, 69, yang pernah melatih beberapa pasukan termasuk Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Terengganu itu mengakui saingan Piala Malaysia tidak boleh ditangguhkan, terutamanya bagi memberi ruang kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan saingan Liga Juara-Juara AFC.

JDT akan bermain dalam empat perlawanan Kumpulan G Liga Juara-juara AFC yang bermula dari 19 Nov ini hingga 4 Dis, dan AFC menetapkan kesemua perlawanan berkenaan akan diadakan di gelanggang berkecuali di Qatar dalam usaha mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pemain dan pegawai terlibat.

“Jadi kalau bermula lewat, sukar juga kepada JDT berikan tumpuan kepada kedua-dua kejohanan yang dijalankan serentak dan saya rasa tarikh yang dicadangkan oleh MFL sudah cukup sesuai, “ kata Irfan.

MFL mengambil keputusan menggunakan format kalah mati bagi saingan Piala Malaysia pada musim ini ekoran kekangan masa akibat penangguhan hampir lima bulan disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Undian Piala Malaysia akan dilangsungkan pada 1 Nov ini dengan perlawanan pusingan pertama bermula pada 6, 7 dan 8 Nov, suku akhir ( 12 dan 13 Nov), separuh akhir pada 17 Nov dan aksi final pada 22 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Ab Ghani Hassan sebelum ini menjelaskan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang seperti Selangor, Kuala Lumpur, UiTM FC dan PJ City perlu bermain di venue luar Lembah Klang berikutan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Nov ini bagi mengekang penularan COVID-19.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan