Images
  • sukan sea filipina
    Pasukan bola sepak Kemboja bawah-23 di Manila "perlu tunggu mungkin dalam lapan, sembilan jam" untuk ke hotel mereka. (Gambar: Facebook/ASEAN Football News)

Filipina mohon maaf atas kesilapan logistik Sukan SEA

MANILA: Tuan rumah sukan SEA 2019, Filipina memohon maaf hari ini (24 Nov) setelah beberapa pasukan atlit yang tiba dibiarkan terkandas selama beberapa jam di lapangan terbang atau dibawa ke hotel yang salah. Ini satu kesilapan logistik yang mengundang kritikan hanya beberapa hari sebelum kejohanan itu bermula.

Atlit-atlit mula tiba ke Manila beberapa hari sebelum majlis pembukaan kejohanan pada Sabtu (23 Nov). Namun, bagi pasukan bola sepak Kemboja dan Timor-Leste, pengalaman saat ketibaan mereka tidak seperti yang dijangkakan.

"Kami perlu tunggu mungkin dalam lapan, sembilan jam untuk ke hotel kami," kata jurulatih pasukan Kemboja, Felix Dalmas dalam sidang media pada Ahad (24 Nov), sambil menambah mereka perlu menunggu beberapa jam bagi khidmat pengangkutan ulang-alik.

Pasukan daripada Timor-Leste pula dihantar ke hotel yang salah, menyulitkan lagi jadual ketibaan dan latihan mereka.

"Semua negara berhak dihormati dan apa yang berlaku semalam tidak indah," kata jurulatih pasukan Timor-Leste, Fabiano Flora kepada wartawan.

Jawatankuasa penganjur Sukan SEA Filipina menawarkan penjelasan bagi kesilapan itu dan menyalahkan satu perubahan saat-saat akhir terhadap rancangan perjalanan dan waktu pendaftaran masuk petang di hotel berkenaan.

"Kami memohon maaf secara tulus kepada para tetamu atlit kami... atas kesulitan yang dialami disebabkan oleh kebingungan yang berlaku," menurut kenyataan oleh jawatankuasa itu. "Kami... berikrar untuk melakukan lebih baik."

Kejohanan itu, yang pertama kali dihoskan oleh Filipina sejak 2005, dijangka menarik ribuan ahli sukan, wartawan dan orang kenamaan sepanjang dua minggu ia diadakan.

Logistik yang berfungsi lancar adalah kunci kejayaan bagi 56 sukan yang akan diadakan di beberapa lokasi dalam dan sekitar Manila.

Masalah hotel dan pengangkutan berlaku sedang pihak penganjur dikecam berhubung kawah obor bernilai sejuta dolar yang akan memegang obor Sukan SEA.

Para pengkritik mengatakan wang yang digunakan untuk membina kawah setinggi 50 meter di stadium utama di Clark, utara Manila, lebih baik disalurkan bagi membantu golongan kanak-kanak dan miskin di Filipina.

- AFP/HA/ha

Top