Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

FIFA terbit buku panduan waktu puasa, solat di Rusia

Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) kini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menerbitkan buku panduan khusus untuk peminat beragama Islam yang berada Rusia.

Anggaran Waktu Membaca:
FIFA terbit buku panduan waktu puasa, solat di Rusia

Ekaterinburg Arena di Rusia. (Gambar: FIFA/Facebook)

Diterbitkan : 06 Mar 2018 09:49AM Dikemas Kini : 06 Mar 2018 10:01AM

FIFA: Sekitar tiga bulan lagi sebelum Piala Dunia 2018 membuka tirai di Rusia.

Mengikut jadual yang ditetapkan, perlawanan pembukaan akan berlangsung pada 1 Syawal dan membabitkan tuan rumah - Rusia - menentang Arab Saudi.

Meskipun begitu, ia tidak menghalang kemeriahan itu terus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk orang Islam.

Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) kini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menerbitkan buku panduan khusus untuk peminat beragama Islam yang berada Rusia, menurut laporan Malaysiakini.

Antara maklumat penting yang akan dimasukkan dalam buku panduan itu kelak adalah butiran mengenai lokasi masjid di Rusia, restoran halal serta waktu solat.

Selepas Arab Saudi bertemu Rusia, dalam tempoh 24 jam berikutnya, tiga lagi negara umat Islam akan bertarung.

Mesir bertemu Uruguay, manakala Maghribi pula dicabar Iran.

Hari-hari berikutnya pula akan menyaksikan Tunisia, Senegal dan Nigeria turun padang untuk menentang lawan yang ditetapkan mengikut kumpulan masing-masing.

JANJI TIADA DISKRIMINASI

Malaysiakini melaporkan bahawa menurut Setiausaha Agung FIFA, Cik Fatma Samoura, badan induk bola sepak dunia serius untuk memastikan bahawa orang Islam yang mengikuti pesta paling berprestij empat tahun sekali itu boleh bersama meraih kemeriahan pesta berkenaan tanpa perlu mengorbankan amalan agama masing-masing.

Bercakap kepada Arab News, Cik Fatma dari Senegal berkata bahawa pada masa yang sama, FIFA juga tetap menghormati semua aspek agama lain.

Kata Cik Fatma, Piala Dunia edisi tahun ini akan menampilkan tujuh pasukan yang memiliki majoriti pemain beragama Islam.

Sementara itu, sebahagian besar peminat pula, katanya, akan berada di Rusia sebelum termasya itu berlangsung. Ini bermakna mereka sedang berpuasa Ramadan.

"Kami di FIFA mahu memastikan semua orang Islam - sama ada pemain, kakitangan atau penyokong pasukan - mendapat semua maklumat yang diperlukan.

"Misalnya di mana makanan halal boleh dibeli atau waktu sembahyang serta masjid yang paling dekat" katanya.

Empat tahun lalu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Muslim Brazil (Fambras) menerbitkan buku panduan setebal 28 halaman berjudul 'Salam Brazil - Panduan Peminat Muslim' sempena Piala Dunia yang diadakan di negara berkenaan.

Ditulis dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, buku itu memuatkan maklumat mengenai waktu sembahyang serta masjid di semua 12 bandar raya yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.

Menurut Cik Fatma, inisiatif Fambras itu akan dicontohi tahun ini.

"Saya memberi jaminan tiada diskriminasi atau apa saja terhadap Muslim di Rusia sempena Piala Dunia ini.

"Bantuan yang diberikan seperti mereka berada di negara sendiri kerana FIFA mahu semua orang dapat menikmati Piala Dunia dengan sepenuhnya," kata Cik Fatma, yang ditukil laporan Malaysiakini itu.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan