Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

FAS sasar naikkan S'pura ke kedudukan 100 negara terbaik FIFA

Di sebahagian negara lain, para pemain bola sepak mengenepikan kepentingan peribadi demi bermain untuk negara. Demi mengecap kejayaan untuk negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2018 06:26PM Dikemas Kini : 15 Jul 2018 10:49PM

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menetapkan sasaran 10 tahun bagi pasukan negara memasuki semula ranking 100 terbaik FIFA.

Buat masa ini, Singapura berada di tangga ke-169, satu kemerosotan besar jika dibandingkan dengan tahun 1998 apabila pasukan negara menduduki tangga ke-81.

Bagaimanakah keadaan bola sepak Singapura dan adakah jika sasaran itu boleh dicapai?

KURANG BUDAYA SUKAN DI KALANGAN ANAK MUDA?

Setiap minggu, kanak-kanak sekecil tiga tahun lagi giat bermain bola sepak. Mungkin ada di kalangan mereka berharap dapat menjadi pemain handal seperti Ronaldo atau Messi pada satu hari nanti.

Ini adalah sebahagian daripada rancangan FAS untuk melibatkan lebih ramai anak muda dalam sukan ini.

Namun, realitinya 80 peratus kanak-kanak ini mungkin tidak akan bermain bola sepak secara profesional apabila dewasa nanti.

Perkara ini menurut jurulatih mereka iaitu bekas pemain negara Steven Tan adalah kerana budaya kesukanan yang kurang ditekankan dan wujudnya internet dan media sosial yang mengalih perhatian anak-anak muda ini.

KURANG PROSPEK KERJAYA HAMBAT BOLA SEPAK

Satu lagi faktor yang menghambat kemajuan bola sepak tempatan adalah pendidikan dan prospek kerjaya.

Sebagai contoh - Rhysh Roshan Rai bekas pemain kebangsaan yang pernah mewakili Singapura dalam Liga Juara-Juara AFC.

Selepas lima tahun bermain sebagai profesional, beliau menggantung butnya kerana memikirkan masa depan beliau terutama sekali gaji sebagai pemain profesional.

"Saya tidak melihat diri saya pada usia 30, 32, 33 tahun dan masih berpendapatan S$2,000-S$3,000 sebulan. Jadi, dalam soal gaji, ia satu isu.

"Saya berminat mengenainya (bola sepak). Hakikat kehidupan tetap muncul dan anda perlu memikirkan tenang masa depan, bukan setakat bermain (bola sepak).

Di Singapura, sedih untuk dikatakan (tetapi) tiada orang terlalu prihatin sama ada anda bermain bola sepak profesional. Tiada orang peduli," luah Rhysh lagi.

CONTOH ICELAND YANG DUDUKI TANGGA 22 FIFA

Di sebahagian negara lain, para pemain bola sepak mengenepikan kepentingan peribadi demi bermain untuk negara. Demi mengecap kejayaan untuk negara.

Iceland misalnya negara terkecil untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Rusia 2018. Ia mempunyai penduduk seramai 330,000 orang sahaja.

Namun Iceland menduduki tangga ke-22 dalam senarai pasukan terbaik FIFA.

"Itu kerana bola sepak adalah satu keutamaan bagi mereka (Iceland). Uruguay juga sama. Ia suatu minat, ia sukan nombor satu (bagi mereka). Ia benar-benar satu keghairahan sejati bagi mereka untuk berada di tahap itu. Di sini, ia bukan benar-benar satu keghairahan," kongsi Rhysh lagi memberikan hujahnya.

KENAPA PASUKAN S'PURA DULU HANDAL?

Selain daripada itu, minat dan sokongan teguh para penyokong pada masa lalu yang menjadikan Singapura antara pasukan yang dihormati di rantau ini.

Lantas untuk mengembalikan kegemilangan itu, FAS menyatakan landskap bola sepak di sini perlu menjalani perubahan besar-besaran.

"Bola sepak di peringkat dunia hari ini adalah lebih pantas. Ia bermain pada tempo lebih laju dan memberi premium lebih tinggi kepada kemahiran-kemahiran teknikal.

"Ini bermakna pada asasnya, ada premium besar ke atas kecergasan, premium besar kepada keupayaan bertindak, bergerak dan mengawal bola.

"Singapura belum lagi mundur, (tetapi) negara-negara lain sudah jauh lebih maju," ujar Bernard Tan, Timbalan Presiden FAS, memberikan penjelasan mengenai kedudukan kesebelasan kebangsaan Singapura.

Hakikatnya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Semua orang perlu memainkan peranan kata Encik Tan yang meminta tempoh 10 tahun untuk menunjukkan hasil.

Antaranya menurut FAS adalah untuk meningkatkan pembangunan belia dan perubahan kepada Liga S. akan menghasilkan lebih banyak pemain muda yang berbakat.

Penduduk juga diharapkan akan terus memberi sokongan kuat kepada pasukan negara.

WUJUDKAN 20 BIASISWA BOLA SEPAK?

Bagi bekas pemain nasional R Sasikumar, Singapura harus menghantar para pemainnya ke luar negara.

"Jika kita boleh menghantar sekitar 40 pemain ke luar negara, wujudkan satu model di mana kita ada 40 pemain terbaik kita bermain di liga-liga lain.

"Wujudkan 20 biasiswa di Amerika Syarikat - kerana mereka akan masih menuntut dan bermain di tahap yang baik. Lagi 20 pemain lain harus berada di serata Eropah dalam Divisyen 3, 4.

"(Dari situ) kita ada 40 pemain yang kita boleh pilih untuk pasukan kebangsaan. Serta anda akan ada ratusan pemain lagi yang bermain di sini. Barulah asasnya lebih luas," saran Sasi.

Namun beliau mengingatkan, dalam menerapkan strategi sedemikian, Singapura juga haruslah jangan takut gagal. Sebaliknya ia harus dianggap sebagai proses pembelajaran, tambah Sasi lagi. 

Sumber : CNA/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan