Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

FAS pertahan langkah dedahkan nama 9 pemain yang langgar 'curfew'

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mempertahan langkahnya mendedahkan nama sembilan pemain skuad kebangsaan yang melanggar 'curfew' semasa di Sukan SEA di Manila, sambil menyatakan pendedahan itu "sememangnya penting" dan ia dilakukan hanya setelah siasatan lanjut dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:
FAS pertahan langkah dedahkan nama 9 pemain yang langgar 'curfew'

(Gambar: Instagram/FAS)

Diterbitkan : 13 Dec 2019 06:49PM Dikemas Kini : 13 Dec 2019 06:52PM

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mempertahan langkahnya mendedahkan nama sembilan pemain skuad kebangsaan yang melanggar 'curfew' semasa di Sukan SEA di Manila, sambil menyatakan pendedahan itu "sememangnya penting" dan ia dilakukan hanya setelah siasatan lanjut dijalankan.

Menjawab pertanyaan oleh Mediacorp pada Khamis (12 Dis), seorang jurucakap FAS berkata: "Mengumumkan nama para pemain itu sememangnya penting kerana perlunya ketelusan dan kebertanggungjawab bukan sahaja kepada pihak berkepentingan kami tetapi juga bagi orang awam."

Keputusan FAS untuk menamakan kesemua sembilan pemain bola sepak pasukan Young Lions dikritik oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Chris Chan yang mengatakan bahawa ia tidak adil untuk melakukan demikian sebelum siasatan menyeluruh dijalankan.

Encik Chan juga berkata kejadian itu berada di bawah bidang kuasa SNOC.

Dalam responsnya kepada komen oleh Encik Chan, jurucakap FAS berkata: "Kami akur akan pandangan SNOC bahawa ia mempunyai bidang kuasa terhadap sembilan pemain itu memandangkan mereka adalah wakil Team Singapore di Sukan SEA.

"Walaupun kami menghormati keinginan SNOC untuk menguruskan proses disiplin, FAS mempunyai hak sama rata untuk menimbang dan menjalankan proses disiplinnya juga."

Kritikan Encik Chan terhadap keputusan FAS itu juga meletakkan persatuan itu dalam pandangan negatif, tambah jurucakap SNOC lagi.

SIASATAN MENYELURUH DIJALANKAN

Menurut FAS, ketua jurulatih Young Lions Fandi Ahmad, pengurus pasukan dan pengarah teknikal FAS menjalankan siasatan menyeluruh pada 2 Dis, sehari selepas pelanggaran 'curfew' itu berlaku.

Menurut laporan The Straits Times, sembilan pemain itu meninggalkan bilik mereka selepas pukul 11 malam iaitu waktu 'curfew' mereka dan mengunjungi kasino di Resort dan Kasino Solaire dan hanya pulang ke bilik mereka pada awal pagi.

Antara bukti yang dikumpul semasa siasatan dijalankan adalan rakaman audio enam pemain yang pertama sekali dinamakan, setiap seorang mengaku melanggar 'curfew', FAS menyatakan.

Menurut jurucakap persatuan, setiap pemain itu juga memberikan kenyataan bertulis.

"Nama keenam-enam pemain itu hanya didedahkan beberapa hari setelah selesainya siasatan menyeluruh, khususnya pada 5 Disember, setelah tamat perlawanan terakhir bagi peringkat kumpulan pasukan itu," tambahnya.

ADAKAH FAS BERTINDAK TERLALU KERAS?

Namun, beberapa anggota masyarakat bola sepak di Singapura tidak bersetuju dengan keputusan FAS untuk mendedahkan nama-nama pemain yang terbabit.

Encik R Sasikumar, bekas pemain bola sepak negara dan pengasas agensi pemasaran sukan Red Card Global, mengatakan bahawa langkah itu menunjukkan kepimpinan dan strategi komunikasi yang lemah, dan seolah-olah menghukum para pemain itu demi kepentingan sendirii.

Sebaliknya, Encik Sasikumar berpendapat perkara itu harus ditangani secara dalaman, dan tidak dihebahkan kepada orang awam.

Meskipun perbuatan para pemain itu salah dan perlu dikenakan hukuman, Encik Sasikumar mengatakan bahawa hukuman lebih berkesan adalah melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Bekas pemain bola sepak negara dan jurulatih, Rafi Ali, pula merasakan FAS seharusnya mengikut prosedur betul dan membiarkan SNOC menyelesaikan siasatannya dahulu sebelum menentukan hukuman bagi para pemain itu.

Selain SNOC, segelintir orang awam turut mengkritik keputusan FAS sambil mengatakan ia adalah taktik bagi mengalihkan perhatian daripada prestasi buruk pasukan itu di Sukan SEA tahun ini.

Pasukan Singa Muda menduduki tangga keempat dalam Kumpulan B dengan satu kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Pasukan itu juga gagal mara ke peringkat separuh akhir. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan