Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

FAS dukacita atas pemergian legenda bola sepak negara Mohamed Noh Hussein

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menzahirkan dukacita yang mendalam atas pemergian bekas pemain negara, Mohamed Noh Hussein, hari ini (20 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
FAS dukacita atas pemergian legenda bola sepak negara Mohamed Noh Hussein

(Gambar: Instagram/rahimahgerlrahim)

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menzahirkan dukacita yang mendalam atas pemergian bekas pemain negara, Mohamed Noh Hussein, hari ini (20 Sep).

Allahyarham mengalami serangan jantung pada pagi Ahad (19 Sep) dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital pada awal pagi tadi.

Dalam catatan Facebooknya, FAS menyifatkan legenda bola sepak terkenal pada tahun-tahun 1970-an yang mesra disapa 'Mat Noh' itu sebagai seorang penyerang yang sangat hebat.

Menurut persatuan itu, penampilan Allahyarham dalam perlawanan-perlawanan cukup menghiburkan penonton melalui gaya beliau menggelecek bola serta gerak tubuhnya ketika beraksi di padang.

Allahyarham merupakan antara pemain unggul dalam perlawanan Piala Malaysia 1977 di mana Singapura berjaya menewaskan pasukan Pulau Pinang 3-2.

Persatuan itu menambah Allahyarham juga amat dikenali dengan jaringan gol kemenangan dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia pada 6 Mac 1977. Beliau menyempurnakan tendangan penalti sekali gus menewaskan Malaysia 1-0 di Stadium Kallang. Ketika itu, Malaysia dianggap sebagai antara pasukan terbaik di Asia.

"Setulus ingatan dan takziah mendalam diucapkan kepada keluarga serta orang tersayang Allahyarham ketika menempuh masa sukar ini," FAS mengakhiri catatannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan