Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

FAS bantu kumpul dana bagi keluarga Nur Alam Shah

Persatuan Bola Sepak (FAS) akan membantu mengumpulkan dana untuk keluarga Allahyarham Nur Alam Shah, bekas pemain kelab bola sepak Woodlands Wellington yang meninggal dunia akibat serangan jantung Jumaat lalu (18 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
FAS bantu kumpul dana bagi keluarga Nur Alam Shah

Allahyarhan Nur Alam Shah dengan anak lelakinya. (Gambar: Yan Auni/Facebook)

Diterbitkan : 24 May 2018 09:23PM Dikemas Kini : 24 May 2018 09:38PM

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak (FAS) akan membantu mengumpulkan dana untuk keluarga Allahyarham Nur Alam Shah, bekas pemain kelab bola sepak Woodlands Wellington yang meninggal dunia akibat serangan jantung Jumaat lalu (18 Mei).

FAS akan mendermakan kesemua hasil yang dikumpulkan semasa perlawanan antara Young Lions dan kelab Warriors Sabtu ini (26 Mei) kepada keluarga Allahyarham "untuk membantu mereka mengharungi tempoh yang susah ini," demikian menurut catatan Facebook persatuan itu hari ini (24 Mei).

"Sumbangan Allahyarham Nur Alam Shah kepada arena bola sepak dengan melatih pemain muda, khususnya Kelab Bola Sepak Gabungan Sekolah-sekolah yakni sebuah badan bukan meraih untung, mengagumkan dan menjadi sumber inspirasi," menurut FAS.

"Bekas pemain Kelab Bola Sepak Woodlands Wellington itu seorang yang mempunyai hati yang penuh belas kasihan dan berkongsi minatnya terhadap terhadap sukan bola sepak dengan pemain muda yang dilatihnya."

Allahyarham Alam Shah, 38 tahun, sebelum ini mengumpul dana untuk membiayai pembedahan anak lelakinya yang berusia empat tahun. Muhammad Royyan, didiagnosis dengan penyakit jantung sejak kecil lagi. Malah Allahyarham Alam Shah turut kehilangan seorang anak perempuan akibat penyakit yang sama.

Demi membiayai kos rawatan anak lelakinya itu, mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari flat empat bilik kepada flat dua bilik, menurut Allahyarham Alam Shah di laman give.asia, di mana beliau berusaha untuk mengumpul dana bagi menampung kos perubatan anak lelakinya itu.

Menurut laporan-laporan media, Allahyarham Alam Shah merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga mereka.

Kempen yang dimulakannya sudahpun berjaya mengumpul S$188,961.35, melebihi sasaran awal sebanyak S$120,000 dan kemudian diubah kepada S$170,000 oleh isteri beliau, Cik Azean Aziz.

Sebelum perlawanan Sabtu ini bermula, para penonton dan pemain akan bertafakur selama seminit sebagai "tanda hormat", menurut FAS. Ia juga akan menyediakan kotak-kotak derma di pintu masuk Stadium Jalan Besar agar para peminat dan orang ramai boleh menderma.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan