Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

F1: Jeddah bakal jadi tuan rumah litar jalanan terpantas, terpanjang

Grand Prix Formula One melancarkan litar jalanan terpanjang dan terpantas kejohanan itu pada Khamis (18 Mac), dengan menjangkakan kelajuan mencecah 322km/j dan perlumbaan sengit apabila Arab Saudi menjadi tuan rumah perlumbaan buat pertama kalinya di Jeddah pada Disember.

Anggaran Waktu Membaca:
F1: Jeddah bakal jadi tuan rumah litar jalanan terpantas, terpanjang

(Gambar: GIUSEPPE CACACE / AFP)

Diterbitkan : 18 Mar 2021 09:36PM Dikemas Kini : 18 Mar 2021 09:41PM

JEDDAH: Grand Prix Formula One melancarkan litar jalanan terpanjang dan terpantas kejohanan itu pada Khamis (18 Mac), dengan menjangkakan kelajuan mencecah 322km/j dan perlumbaan sengit apabila Arab Saudi menjadi tuan rumah perlumbaan buat pertama kalinya di Jeddah pada Disember.

Pihak penganjur menyatakan perlumbaan malam pada 5 Disember itu berlangsung di kawasan Corniche di bandar pelabuhan Laut Merah dan meliputi laluan sepanjang 6.175 kilometer, menjadikannya litar terpanjang kedua sukan tersebut di belakang Spa-Francorchamps di Belgium.

Sebahagian besarnya menggunakan jalan raya sedia ada, dan mengelilingi sebuah lagun, litar itu akan menampilkan 27 selekoh dengan kereta memecut pada kelajuan purata 252.8km/j, menurut simulasi F1.

Tahap kelajuan itu meletakkannya di belakang litar Monza di Itali, yang terpantas berbanding litar-litar lain, tetapi mendahului Silverstone di Britain.

Pengarah urusan sukan motor Formula One, Ross Brawn berkata susun atur litar itu akan mewujudkan banyak peluang bagi pemandu untuk memintas dan bersaing sengit.

"Kami tidak mahu litar Mickey Mouse," katanya kepada laman F1.

"Kami tidak mahu litar jalanan klasik lama di mana anda membuat pusingan 90 (darjah). Kami mahukan litar pantas, kami mahukan litar yang akan mencabar pemandu dan mereka akan menyukainya. Kami mahukan litar di mana mereka boleh berlumba sengit. "

Litar jalanan terpantas ketika ini dari segi kelajuan purata, adalah Albert Park di Melbourne dengan kelajuan 237.2km/j. Litar terpanjang pula di Baku, Azerbaijan berukuran 6.003 km.

Perlumbaan Arab Saudi itu dijadual menjadi grand prix kedua terakhir dalam kalendar 23 perlumbaan sepanjang tahun ini.

Perlumbaan itu telah menarik kritikan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International, yang menuduh Arab Saudi menggunakan acara sukan untuk mewujudkan imej positif.

Beberapa kempen baru-baru ini menulis kepada juara dunia tujuh kali pasukan Mercedes, Lewis Hamilton memintanya memulaukan perlumbaan tersebut atau bercakap tentang pelanggaran hak asasi manusia yang dilaporkan di negara berkenaan.

Penganjur Saudi sebelum ini berkata penganjuran perlumbaan tersebut akan menghasilkan 'perubahan positif'.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan