Images
  • f1 racer end racism
    (Gambar fail: Joe Klamar/Pool via REUTERS)

F1 atur jadual pelumba tunjuk gerak isyarat anti-perkauman

SILVERSTONE : Formula One telah memastikan para pemandunya boleh menunjukkan sokongan bagi kempen 'End Racism' atau 'Hentikan Perkauman' tanpa kelam-kabut sebelum permulaan perlumbaan Grand Prix Britain pada Ahad (2 Ogos).

Penganjur sukan itu dikritik juara dunia dari pasukan Mercedes, Lewis Hamilton - yang juga satu-satunya pelumba kulit hitam - kerana gagal mengatur jadual untuk para pelumba memberi isyarat tunjuk perasaan secara bersepadu pada perlumbaan lalu di Hungary,

Semua pemandu menunjukkan gerak isyarat sokongan sebagai sebahagian daripada program di acara pembukaan musim baru Austria, dengan Hamilton berlutut dengan memakai kemeja-T yang tertera dengan perkataan 'Black Lives Matter', namun waktu tidak diketepikan pada dua perlumbaan seterusnya.

Pengarah perlumbaan Michael Masi mengeluarkan jadual acara pada Sabtu untuk memastikan kesemua 20 pelumba mempunyai masa untuk berhimpun.

Perlumbaan itu diadakan tanpa penonton kerana pandemik COVID-19.

Para pemandu akan dimaklumkan menerusi sistem siar raya (PA) untuk berjalan ke hadapan petak permulaan perlumbaan di mana kain rentang 'End Racism' akan dipasang di litar.

Pengumuman akan dibuat bahawa: "Formula Satu dan FIA akan mengambil waktu ini untuk mengiktiraf pentingnya keadilan dan peluang sama untuk semua."

Para pemandu boleh memilih gerak isyarat sendiri sebagai tanda sokongan.

Hamilton dan pengarah Persatuan Pelumba Grand Prix Drivers (GPDA) Romain Grosjean berkata mereka berharap semua pelumba akan menunjukkan perpaduan dengan berlutut di akhir musim perlumbaan.

Gerak isyarat itu akan berakhir selepas 30 saat dan pengumuman akan dibuat yang berbunyi: Terima kasih kerana menunjukkan sokongan untuk menghentikan perkauman di dunia" sebelum lagu kebangsaan dimainkan.

Turut dijadualkan adalah tepukan selama seminit di petak permulaan perlumbaan dan di sekitar litar bagi Khidmat Kesihatan Nasional (NHS) Britain serta terbang lalu pesawat pejuang Spitfire Perang Dunia Kedua.

- Reuters/TQ/tq

Top