Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Euro 2020: England kalahkan Jerman 2-0; Ukraine tundukkan Sweden 2-1

Dua gol pada lewat perlawanan jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane membolehkan England menempah tempat di suku akhir Euro 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Euro 2020: England kalahkan Jerman 2-0; Ukraine tundukkan Sweden 2-1

Artem Dovbyk menjaringkan gol kedua Ukraine. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 30 Jun 2021 08:57AM Dikemas Kini : 30 Jun 2021 09:02AM

LONDON: Dua gol pada lewat perlawanan jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane membolehkan England menempah tempat di suku akhir Euro 2020.

England menundukkan Jerman 2-0 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Wembley pada Selasa (29 Jun).

Pencapaian itu bertambah manis memandangkan ia kemenangan pertama The Three Lions ke atas lawan mereka itu dalam pusingan kalah mati sejak Piala Dunia 1966.

Kedua-dua pasukan kebuntuan gol pada babak pertama.

Namun rentak perlawanan bertambah rancak dengan kemasukan pemain tengah England Jack Grealish pada minit ke-69.

Enam minit selepas Grealish turun padang, England menyumbatkan gol pembukaan hasil jaringan Sterling, gol ketiganya dalam empat perlawanan Euro 2020.

Jerman yang ketinggalan 1-0 mempunyai peluang keemasan pada minit ke-81 tetapi percubaan Thomas Muller tersasar.

Lima minit kemudian, harapan Jerman berakhir apabila kapten England, Harry Kane menanduk masuk gol kemenangan dengan jaringan pertamanya dalam kejohanan tersebut

UKRAINE BENAM SWEDEN

Artem Dovbyk mengesahkan slot Ukraine di suku akhir Euro 2020 selepas menjaringkan gol pada minit ke-121 semasa menentang Sweden yang beraksi dengan 10 pemain.

Oleksandr Zinchenko meletakkan Ukraine di hadapan pada minit ke-27 , tetapi Emil Forsberg berjaya menyamakan kedudukan buat Sweden sebelum tamat babak pertama.

Permainan bertambah rancak pada babak kedua apabila kedua-dua pasukan saling memiliki peluang untuk menambah jaringan.

Namun Sweden bernasib malang apabila Marcus Danielson dilayangkan kad merah pada minit ke-99.

Dovbyk muncul wira apabila tandukkannya pada minit ke-121 melengkapkan kemenangan pasukan Andriy Shevchenko dengan mengalahkan Sweden 2-1.

England bakal bertemu Ukraine dalam perlawanan suku akhir Euro 2020 itu pada Sabtu ini (3 July).

Sumber : Reuters/AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan