Images
  • bola
    Ryan Babel bersama rakan sepasukannya. (Gambar: AFP)

Euro 2020: Belanda rembat Estonia 4-0

TALLINN: Dua jaringan Ryan Babel membantu Belanda menang 4-0 ke atas Estonia di Tallinn pada Isnin (9 Sep), sekaligus menguatkan lagi harapan pasukan itu untuk melayakkan diri ke Euro 2020.

Skuad kendalian Ronald Koeman itu kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan C, kurang satu perlawanan dalam tangan dan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu kumpulan Jerman dan pasukan di tangga kedua, Northern Ireland selepas Jerman menang 2-0 dalam perlawanan di Belfast.

“Sebelum perlawanan kami sedar jika kami tidak fokus sejak mula ia akan menjadi malam yang mencabar,” kata pemain berusia 32 tahun, Babel kepada NOS TV.

“Adalah sesuatu yang hebat untuk menjaringkan dua gol buat pertama kali – saya seorang pemain yang mendapat semangat berdasarkan paras keyakinan saya.

“Saya bukan lagi pemain muda dalam pasukan, jadi saya cuba mengurangkan masalah dengan kepantasan menerusi pengalaman saya.”

Memphis Depay membuat penampilan ke-50 buat Belanda dengan satu gol dan menyumbang dua peluang gol manakala Georginio Wijnaldum menjaringkan gol buat kali kedua dalam empat hari selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 4-2 mengatasi Jerman pada Jumaat lalu di Hamburg.

Belanda, juara Euro 1988 sedang cuba kembali ke persada bola sepak Eropah selepas gagal melakukannya pada Euro 2016 dan Piala Dunia tahun lalu. 

- AFP/NA/na

Top