Images
  • samuel etoo
    Samuel Eto'o (Gambar: AFP/Mohamed Al-Shahed)

Eto'o gantung but pada usia 38 tahun

PARIS: Pemain terbaik Afrika empat kali dari Cameroon, Samuel Eto'o mengumumkan persaraannya hari ini (7 Sep) pada usia 38 tahun, dengan mengisytiharkan "Saya perlu berehat".

"Tamat, bersedia untuk cabaran baru," catat bekas penyerang Barcelona, Inter Milan dan Chelsea itu di laman Instagram miliknya.

"Terima kasih semua, saya sayang kamu semua, adrenalin."

Eto menikmati kemuncak kerjayanya sepanjang lima musim bersama Barcelona bermula 2004 hingga 2009.

Sepanjang tempoh itu, dia berjaya dua kali merangkul gelaran Liga Juara-Juara dan tiga kali juara Liga Sepanyol sebelum berpindah ke Inter.

Eto'o membantu pasukan bimbingan Jose Mourinho dengan menjuarai Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali pada musim pertamanya di Italia.

Ketika mewakili Cameroon, dia dua kali menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika selain pingat emas Olimpik 2000 serta memimpin pasukan negara dalam empat Piala Dunia pada 1998, 2002, 2010 dan 2014.

Eto juga sempat menyarung jersi Chelsea dan Everton dalam saingan Liga Perdana England.

Tahun lalu, selepas menyertai kelab Turki, Konyaspor untuk tempoh jangka pendek, dia membuat keputusan beraksi bersama kelab Qatar, Qatar Sports Club yang juga kelab terakhirnya. 

- AFP/SU/tq

Top