Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

EPL timbang haramkan belia tanduk bola dek kebimbangan demensia

Liga Perdana England sudah menghubungi semua kelab anggotanya untuk memaklumkan pihaknya sedang menimbangkan sama ada untuk mengharamkan sebilangan pemain akademi daripada menanduk bola di tengah kebimbangan dimensia atau penyakit nyanyuk.

Anggaran Waktu Membaca:
EPL timbang haramkan belia tanduk bola dek kebimbangan demensia

EPL pertimbang mengharamkan belia daripada menanduk bola dek kebimbangan demensia (Gambar: AFP/Adrian Dennis)

Diterbitkan : 31 Oct 2019 07:13PM Dikemas Kini : 31 Oct 2019 07:17PM

LONDON: Liga Perdana England sudah menghubungi semua kelab anggotanya untuk memaklumkan pihaknya sedang menimbangkan sama ada untuk mengharamkan sebilangan pemain akademi daripada menanduk bola di tengah kebimbangan dimensia atau penyakit nyanyuk.

Media Britain melaporkan pada Rabu (30 Okt), para pemimpin Liga tersebut sudah menghantar emel kepada kesemua 20 pasukan utama ekoran dapatan satu kajian baru-baru ini mengenai kaitan antara sukan bola sepak dan nyanyuk.

Laporan berjudul "Pengaruh Bola Sepak ke atas Kesihatan Sepanjang Hayat dan Risiko Demensia" yang diterbitkan minggu lalu mendapati para pemain bola sepak menghadapi risiko tiga setengah kali ganda mengalami kondisi otak degeneratif berbanding orang ramai.

Kajian tersebut mengkaji 7,676 pemain bola sepak Scotland yang dilahirkan antara 1900 hingga 1976 yang dipadankan dengan 23,000 orang dari kawasan dan latar belakang yang sama.

Ia menyebabkan Persatuan Bola Sepak Scotland menimbangkan pengharaman bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun daripada menanduk bola sepak. Mantan pemain Lenny Johnrose, yang didiagnos dengan penyakit neuron motor pada Mac 2017, menyeru agar kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah diharamkan daripada membuat tandukan bola.

Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara yang menguat kuasa pengharaman sedemikian. Kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah tidak dibenarkan menanduk bola sepak semasa latihan mahupun perlawanan, manakala terdapat had yang diperuntukkan bagi sesi latihan bagi pemain berusia 10 hingga 13 tahun.

Menyusuli kajian tersebut, yang diterajui konsultan pakar patologi saraf Dr Willie Stewart dari Universiti Glasgow, Pemangku Ketua Eksekutif Liga Perdana Richard Masters sedang meneliti dapatan kajian itu untuk membuat keputusan sama ada terdapat sebarang kumpulan lingkungan umur yang patut diharamkan daripada menanduk bola sepak.

Kumpulan penasihat dan perubatan bebas bagi persatuan bola sepak itu belum lagi yakin terdapat cukup bukti buat masa ini untuk merubah corak permainan bola sepak di mana-mana peringkat.

Ia bagaimanapun mengeluarkan sekali lagi nasihat amalan terbaik latihan bagi bola sepak belia supaya elak daripada latihan menanduk bola berulang kali dan menggunakan bola latihan dan objek yang bersesuaian mengikut peringkat umur seperti belon atau bola span.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan