Images
  • sanchez
    Penyerang Manchester United Alexis Sanchez mengambil penalti yang dinafikan oleh penjaga gawang Huddersfield Town. (Gambar: PAUL ELLIS/AFP) 

EPL: Aubameyang, Sanchez cemerlang dalam pasukan baru masing-masing

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang berjaya menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya bagi Arsenal tetapi ‘hat-trick’ Aaron Ramsey, membayangi pencapaiannya itu sedang Arsenal membelasah Everton 5-1.

Sementara itu, bekas pemain Gunners, Alexis Sanchez turut menjaringkan gol pertama bagi kelab barunya, Manchester United.

Aubameyang kembali beraksi bersama bekas rakan sepasukannya dari Borussia Dortmund, Henrikh Mkhitaryan sedang wajah-wajah baru yang membentuk jentera serangan Arsenal mencatat prestasi cemerlang semalam (3 Feb) terutama sekali dengan ‘hat-trick’ pertama Ramsey dalam kerjayanya.

Di Old Trafford pula, Sanchez juga tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan kelab barunya dengan percubaan keduanya berjaya membolosi gawang lawan selepas tendangan penaltinya sebelum itu gagal melepasi Jonas Lossl. Huddersfield Town akhirnya kecundang 2-0 di tangan pasukan Jose Mourinho itu.

Dengan kemenangan itu, United masih ketinggalan 13 mata di belakang Manchester City yang mendahului Liga Perdana England meskipun pasukan Pep Guardiola itu hanya mampu seri 1-1 dengan Burnley. Gol Johann Berg Gudmundsson lapan minit sebelum perlawanan berakhir menyekat City daripada meraih kemenangan setelah Danilo menjaringkan gol hebat pada awal perlawanan.

Di Stadium Emirates pula, semangat kental Arsenal dengan kehadiran Aubameyang dan Mkhitaryan serta keputusan Mesut Ozil untuk memperbaharui kontraknya minggu ini menghasilkan empat gol dalam masa 37 minit.

Gol Aubameyang dijaringkan lapan minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Keputusan Liga Perdana England:

Arsenal 5 Everton 1
Burnley 1 Manchester City 1
Bournemouth 2 Stoke 1
Brighton 3 West Ham 1
Leicester 1 Swansea 1
Manchester United 2 Huddersfield 0
West Brom 2 Southampton 3 

- AFP/SM/sm

Top