Images
  • salah liverpool epl
    EPL: Mohamed Salah jaringkan gol, bantu Liverpool atasi West Ham 3-1 pada 31 Jan 2021 (Gambar: Pool via REUTERS/Justin Setterfield)

Dua gol Gol Salah bantu kemenangan Liverpool ke atas West Ham

LONDON: Mohamed Salah dengan penuh gaya mengakhiri kemarau golnya dalam Liga Perdana England, selepas menjaringkan dua gol yang menakjubkan untuk memberi kemenangan 3-1 kepada Liverpool di West Ham pada Ahad (31 Jan).

Salah telah bermain dalam enam perlawanan liga tanpa menjaringkan sebarang gol, sebelum beliau akhirnya berjaya mematahkan benteng pertahanan West Ham pada separuh kedua perlawanan dengan gol pertamanya dalam pertandingan itu sejak Disember.

Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan satu lagi gol menakjubkan lantas memastikan Liverpool mencatat dua kemenangan liga berturut-turut.

Salah adalah pemain pertama yang menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam semua pertandingan dalam empat musim berturut-turut untuk Liverpool sejak Ian Rush pada tahun 1980-an.

Georginio Wijnaldum menjaringkan gol ketiga Liverpool, sedang pasukan anak didik Jurgen Klopp itu memintas Leicester untuk menduduki tangga ketiga liga.

Liverpool ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga Manchester City, yang mempunyai baki satu perlawanan, dan satu mata di belakang pasukan tangga kedua Manchester United.

Selepas lima perlawanan liga tanpa kemenangan, pasukan juara itu menunjukkan tanda-tanda bangkit dari persembahan hambar mereka pada musim sejuk dengan mencatat kemenangan 3-1 pada Khamis di Tottenham, dan perlawanan kali ini adalah satu lagi langkah ke arah yang betul.

West Ham memenangi enam perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan tidak pernah kalah dalam enam perlawanan terakhir liga.

Namun Liverpool berjaya meleburkan kejayaan mereka dengan meyakinkan, sekaligus membuktikan bahawa pasukan yang berjaya menjulang gelaran musim lalu belum boleh diketepikan.

Kebangkitan The Reds berlaku tepat pada waktunya untuk perlawanan penting Ahad depan dengan Manchester City, yang didahului dengan perlawanan di padang sendiri menentang Brighton pada Rabu.

- Agensi berita/TQ/tq

Top