Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Dr Mahathir suntik semangat Harimau Malaya jelang final Piala AFF Suzuki 2018

"Jangan kecewakan saya dan negara kita," kata Perdana Menteri Dr Mahathir yang akan menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil melibatkan Malaysia menentang Vietnam pada 11 Dis ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir suntik semangat Harimau Malaya jelang final Piala AFF Suzuki 2018

Perdana Menteri Mahathir Mohamad dengan pasukan nasional bola sepak. (Gambar: KBSMalaysia/Facebook)

Diterbitkan : 08 Dec 2018 07:37AM Dikemas Kini : 08 Dec 2018 07:41AM

PUTRAJAYA: "Jangan kecewakan saya dan negara kita," kata Perdana Menteri Dr Mahathir yang akan menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil melibatkan Malaysia menentang Vietnam pada 11 Dis ini.

Dalam pertemuan untuk menyuntik semangat skuad Harimau Malaya di Perdana Putra semalam (7 Dis), Dr Mahathir berkata melalui kemenangan, kebolehan negara dapat dibanggakan.

“Kita nak cari kemenangan kerana kita nak berbangga dengan kebolehan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mempertahankan maruah dan kehormatan negara,” katanya yang berharap pasukan Harimau Malaya akan lakukan yang terbaik untuk mendapat kemenangan.

Pada pertemuan yang dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin, ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya Tan Cheng Hoe dan kapten Zaquan Adha Abd Razak itu, Encik Hamidin juga menyampaikan jersi No 7 kepada Dr Mahathir.

Malaysia akan bertemu pasukan Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 yang akan menggunakan format timbal balik dengan pasukan negara bakal melayan kunjungan Vietnam pada 11 Dis sebelum aksi final kedua di Hanoi pada 15 Dis.

Dr Mahathir dalam pertemuan itu turut berpesan agar para pemain berdisiplin khususnya menjaga masa rehat dan berlatih bersungguh-sungguh dan semangat untuk mendapat kemenangan.

I hope you will work hard and practice a lot. Live, sleep and think only of football and winning for Malaysia (Saya harap anda bekerja keras dan banyakkan berlatih. Hidup, tidur dan fikir hanya bola dan menang untuk Malaysia),” katanya.

Dr Mahathir turut menyatakan hasratnya untuk melihat pasukan Malaysia melayakkan diri dalam Piala Dunia nanti.

“Bola sepak adalah satu sukan yang dahulunya Malaysia kuat dan kerap menang. Sekarang, kita ketinggalan," katanya.

Beliau berkata negara Jepun sudah mencapai kejayaan yang cukup pantas dan amat baik sedangkan dahulu mereka berada di belakang Malaysia dalam sukan bola sepak.

“Disebabkan mereka berlatih bersungguh-sungguh, Jepun maju dalam bola sepak sehingga dapat beraksi dalam World Cup. Jadi, saya nak lihat pasukan Malaysia akan beraksi dalam World Cup satu hari nanti,” katanya.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan