Images
  • sports round up

Detik luar biasa sukan yang mewarnai 2018

BERITAmediacorp: Di peringkat serantau, antarabangsa, mahupun di tanah air kita sendiri, dunia sukan penuh dengan detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

BERITAmediacorp menyingkap kembali antara detik yang mewarnai landskap sukan sepanjang 12 bulan lalu.

Les Blues julang Piala Dunia

Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Croatia dalam perlawanan akhir yang penuh aksi Julai lalu.

Keputusan tersebut menobatkan Les Blues sebagai juara Piala Dunia buat kali kedua sejak meraih kemenangan di padang sendiri pada 1998.


Kylian Mbappe menyambut kemenangan Perancis. (Gambar: AFP)

Dengan kemenangan berkenaan, rakyat Perancis akhirnya dapat melupakan nasib malang yang menghantui pasukan bola sepak negara itu pada Piala Dunia 2006 dan Piala Eropah dua tahun lalu.

Dengan kemenangan tersebut, ini bermakna kapten pasukan pada tahun 1998, Didier Deschamps menjadi individu ketiga menjulang Piala Dunia sebagai pemain dan kemudian selaku jurulatih mengikuti jejak Mario Zagallo dari Brazil dan Franz Beckenbauer dari Jerman untuk meraih pencapaian luar biasa itu.

Antara pemain yang menyerlah sepanjang kempen Piala Dunia pasukan Perancis ialah Kylian Mbappe. Bintang Paris St-Germain yang pada ketika itu baru berusia 19 tahun merupakan pemain paling muda untuk menjaringkan gol di perlawanan akhir temasya tersebut sejak legenda bola sepak Brazil Pele melakukannya pada tahun 1958.

Baru-baru ini, anak muda itu dianugerahi Pemain Terbaik Perancis 2018 selepas mempamerkan prestasi cemerlang musim ini dengan menjaringkan 13 gol dalam 11 perlawanan Liga Perancis – hanya Lionel Messi sahaja yang berjaya menyumbat lebih banyak gol berbandingnya sejauh ini.

Serena mengamuk di gelanggang

Serena Williams didenda AS$17,000 (S$23,400) oleh Persatuan Tenis Amerika Syarikat selepas beliau mengamuk dalam perlawanan akhir Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat, di mana beliau kalah di tangan Naomi Osaka dari Jepun, September lalu.


Serena Williams mengamuk dengan Carlos Ramos. (Gambar: Munoz Alvarez/AFP)

Bintang Amerika Syarikat itu didenda atas kesalahan melanggar tiga kod tatalaku. Beliau didenda AS$4,000 (S$5,500) bagi amaran berkomunikasi dengan jurulatih, AS$3,000 (S$4,100) atas tindakannya menghentak raket dan lagi AS$10,000 (S$13,800) bagi kesalahan melepaskan kemarahannya terhadap pengadil Carlos Ramos yang dituduh sebagai "pencuri" dan bersikap seksis semasa perlawanan tersebut.

Serena didakwa berkomunikasi dengan jurulatihnya untuk mendapatkan nasihat dan itu menyebabkan Ramos mengeluarkan amaran.

Amaran itu bagaimanapun menyebabkan Serena naik berang dan berlakunya perang mulut antara kedua-duanya sebelum Serena melemparkan kata-kata kesat selain menuduh Ramos sebagai pencuri.

Kejadian itu membuatkan Serena terlepas gelaran Grand Slam ke-24, sekaligus gagal menyaingi rekod Margaret Court dan memberikan kemenangan pertama kepada pemain Jepun, Naomi Osaka.

Ia juga mengundang pelbagai reaksi dan komen di media sosial. Ada yang menyanjungnya sebagai ‘wira kaum wanita’ dan ada pula yang memihak kepada Ramos yang dilihat setakat menjalankan tugas beliau dengan seadil-adilnya.

Pelari maraton terhebat di dunia

Jika balapan olahraga didominasi pelari pecut Jamaica, Usain Bolt, dunia maraton pula dikuasai oleh atlit Kenya, Eliud Kipchoge.

Jaguh Olimpik yang berusia 34 tahun itu memecahkan rekod acara tersebut dengan catatan masa 2 jam 1 minit 39 saat di Berlin, September lalu.

Rekod baru itu 1 minit 18 saat lebih pantas berbanding rekod Dennis Kimetto yang dicatatkan empat tahun lalu di perlumbaan yang sama.

Sejauh ini, Kipchoge sudahpun meraih kemenangan bagi 10 daripada 11 maraton yang disertainya. Beliau menjuarai acara di Berlin dan London masing-masing sebanyak tiga kali selain menjadi johan di Hamburg, Rotterdam dan Chicago serta Olimpik di Rio.


Eliud Kipchoge juara Berlin Marathon. (Gambar: John Macdougall/AFP)

Dengan rekod terbarunya itu, Kipchoge kini antara pelari maraton terhebat dalam sejarah dengan baru-baru ini beliau dinobat sebagai Atlit Lelaki Terbaik IAAF 2018, sekaligus menjadi warga kedua Kenya dalam sejarah mendapat pengiktirafan seumpama itu selepas David Rusha.

Selain itu, Kipchoge juga menduduki tempat kedua di belakang ahli gimnastik Amerika Syarikat Simone Biles dalam senarai 20 Atlit Paling Dominan ESPN tahun ini, mendahului bintang-bintang sukan lain seperti pemain bola keranjang LeBron James.

Menurut ESPN, ranking tersebut menyenaraikan para atlit yang berjaya “mengatasi segala yang mustahil”.

“Rekod dunia saya, 2:01:39, bukanlah masa yang terpantas yang pernah saya catat bagi sesebuah maraton dan saya rasa saya boleh memperbaiki rekod dunia itu pada masa akan datang,” kata Kipchoge semasa ditemu bual dengan penuh keyakinan.

Hamilton bergelar juara dunia buat kali kelima

Sepanjang musim 2018, pelumba kereta F1 Mercedes, Lewis Hamilton mendominasi dunia Formula One (F1) dengan memenangi sebanyak 11 daripada 21 perlumbaan Grand Prix tahun ini, sekaligus tampil sebagai juara keseluruhan.

Pesaing terdekatnya, pelumba Ferrari, Sebastian Vettel terpaksa menggigit jari, ditinggalkan 88 mata di belakang Hamilton.

Dengan pencapaian cemerlang tersebut, ini bermakna bintang Britain yang baru berusia 33 tahun itu merupakan pelumba ketiga dalam sejarah F1 untuk meraih gelaran juara dunia sebanyak lima kali, meletakkannya sebaris dengan rekod legenda Argentina, Juan Manuel Fangio.


Lewis Hamilton juara dunia sekali lagi. (Gambar: Giuseppe Cacace/AFP)

Hamilton sebelum ini dinobatkan juara dunia pada edisi ke 2008, 2014, 2015 dan 2017.

Kini, hanya pelumba legenda Jerman, Michael Schumacher sahaja yang mengatasi rekod kedua-dua pelumba berkenaan, dengan tujuh kejuaraan dunia.

Dalam pada itu, Hamilton juga mendapat undian tertinggi daripada para ketua pasukan F1 sebagai pelumba terbaik 2018. Sekali lagi, Vettel terpaksa berpuas hati dibayangi Hamilton.

Warga Jerman yang berusia 31 tahun itu menduduki tempat kedua, manakala Kimi Raikkonen di tempat ketiga dan pelumba berbakat Red Bull, Max Verstappen menamatkan separuh kedua musim ini dengan meyakinkan di tempat keempat.

Atlit muda S’pura menyerlah di Sukan Asia 

13,000 atlit daripada 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan bersaing dalam 40 sukan dan 67 cabang sukan di Sukan Asia yang berlangsung dari 8 Ogos hingga 2 September tahun ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, ia dihoskan oleh dua buah bandar, dengan Palembang di pulau Sumatera menjadi tuan rumah bagi sebilangan acara dan bakinya di ibu kota Jakarta.


Presiden Indonesia Joko Widodo merasmikan pembukaan Sukan Asia ke-18. (Gambar: Jewel Samad/AFP)

Di Stadium Gelora Bung Karno, lebih 50,000 penonton menyambut ketibaan para atlit elit dari setiap pelusuk benua bagi upacara perasmian edisi ke-18 temasya itu.

Ini termasuk atlit Korea Utara dan Korea Selatan yang berbaris bersama di bawah bendera yang memaparkan peta Semenanjung Korea.

Secara keseluruhanya, Team Singapore merangkul empat pingat emas, empat perak dan 14 gangsa berbanding Sukan Asia yang dianjurkan di Incheon sebelum ini di mana ia berjaya meraih lima emas, enam perak dan 13 gangsa.

Meskipun pasukan negara mempamerkan prestasi hambar, malah kurang menyerlah daripada yang dijangkakan, para atlit yang membuat penampilan sulung berjaya memperlihatkan bakat dan potensi mereka, menurut Ketua Prestasi Tinggi bagi Sukan dan Kehidupan Atlit di Institut Sukan Singapura, Richard Gordon.

"Secara keseluruhannya, saya rasa kami menunjukkan prestasi kurang baik berbanding jangkaan awal. Matlamat kami adalah untuk meraih lebih banyak pingat berbanding jumlah pingat yang diperolehi semasa Sukan Asia 2014. Namun, kami tidak dapat mencapai matlamat tersebut.

"Tetapi ini bukan sesuatu yang mudah. Kita perlu memahami kisah-kisah di sebalik pingat tersebut. Kita perlu meneliti kisah-kisah di sebalik sukan dan persaingannya. Kami mencatat prestasi baik bagi beberapa acara, namun menunjukkan prestasi kurang baik bagi acara-acara yang lain," kata beliau.

Pendekar, srikandi negara pecah rekod 

Gelanggang silat OCBC Arena di Hab Sukan Singapura menjadi medan pertarungan lebih 300 pesilat dari 40 negara sempena Kejohanan Pencak Silat Sedunia yang kembali diadakan di sini buat kali ketiga.

Bagi edisi ke-18 acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) dan Aladdin Street Singapore kali ini, Team Singapore diwakili 29 pesilat handal yang memburu emas bagi tanah tumpah darah mereka.


Kesemua pendekar dan srikandi Singapura bagi acara Seni memenangi pingat. (Gambar: PERSISI)

Secara keseluruhannya, pendekar dan srikandi negara berjaya merangkul tujuh emas, enam perak dan tujuh gangsa, sekaligus memecahkan rekod terbaik sebelum ini pada 2004 iaitu sebanyak empat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Sheik Farhan Sheik Alauddin turut mencipta sejarah menjadi pesilat negara pertama yang berjaya dinobat sebagai ‘juara dunia’ sebanyak tiga kali.

Farhan mengalahkan pesaingnya dari Vietnam, Pham Khac Truong dengan keputusan 5-0. Kemenangan itu lebih manis kerana ia dicapai pada hari jadinya.

Pingat emas turut dikecapi rakan sepasukan, Nurul Suhaila Mohd Saiful selepas mencuba nasib dalam tiga edisi lalu kejohanan tersebut.

Kemenangannya juga mengakhiri penantian 14 tahun bagi seorang srikandi negara untuk menjadi juara dunia bagi kategori tanding. Kali terakhir, pesilat wanita negara bergelar juara dunia adalah 14 tahun lalu oleh Saiedah Said semasa Singapura menjadi tuan rumah.

‘The Chosen Wan’ intai gelaran juara dunia IBO

Dengan rekod tanpa kalah - 11 kemenangan daripada 11 pertarungan yang ditandingi, separuh pertama musim tinju Muhammad Ridhwan Ahmad tahun ini tampak cerah.

Apakan tidak, seawal bulan April lagi, The Chosen Wan sudahpun mengecapi kemenangan terbesar dalam kerjayanya selepas menundukkan lawan dari Filipina, Jeson Umbal dalam pertarungan kelas ‘feather’ Kejuaraan Antara Benua Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO).


Muhammed Ridhwan kalah di tangan Paulus Ambunda. (Gambar: Matthew Mohan)

Menyusuli kemenangan di Stadium Tertutup Singapura itu, anak Melayu yang berusia 30 tahun itu layak bertarung bagi gelaran juara dunia IBO dalam kelas ‘super bantam’ (sehingga 55 kilogram).

Ini bermakna, pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak tiga kali itu berpeluang mengorak langkah mengikuti jejak Manny Pacquiao dan Anthony Joshua - masing-masing mendapat gelaran dunia dalam IBO sebelum meraih lebih banyak lagi pencapaian.

Impian beliau bagaimanapun tercalar selepas dikalahkan oleh lawannya dari Namibia, Paulus Ambunda, 38 tahun di gelanggang Marina Bay Sands pada 29 September. Meskipun dapat bertahan sepanjang 12 pusingan, Ridhwan tumpas di tangan bekas juara dunia itu yang ternyata lebih berpengalaman.

Namun begitu, wira negara ini tidak sekali-kali menyerah kalah dan berkat semangat juang beliau, “The Chosen Wan” dipilih sebagai penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2018.

Dalam wawancaranya bersama Mediacorp selepas pertarungan September lalu, Ridhwan memberi jaminan kepada orang ramai: “Apabila saya gagal, saya akan bangkit semula. Saya akan bangkit semula seperti selalunya!”

Persembahan Team S’pore di Sukan Para Asia membanggakan

Para atlit Team Singapore yang bertanding di Sukan Para Asia Ke-3 (APF) Oktober lalu turut membanggakan negara.

Secara keseluruhannya, mereka menghadiahkan 10 pingat termasuk tiga emas, dua perak dan lima gangsa - prestasi terbaik yang pernah dicapai di temasya tersebut sejauh ini.


Yip Pin Xiu antara atlit yang menyerlah. (Gambar: Team Singapore)

Di edisi sebelum ini pada 2014 di Incheon, Korea Selatan, pasukan Singapura merangkul satu emas, satu perak dan empat pingat gangsa.

Atas kejayaan cemerlang mereka itu, buat julung-julung kalinya, sebanyak $250,000 diberikan kepada para pemenang pingat di Anugerah Pencapaian Atlit pada 31 Oktober lalu.

Juara acara perseorangan menerima $35,000, manakala pemenang pingat perak pula mendapat $25,000 dan mereka yang merangkul pingat gangsa dihadiahkan wang bernilai $15,000.

Antara yang menyerlah dalam temasya tersebut adalah perenang negara, Yip Pin Xiu yang meraih pingat emas bagi acara kuak lentang 50 meter wanita S4 (1-4). Beliau diiktiraf dengan anugerah khas - iaitu Anugerah Atlit Wanita Terbaik Siri Para Dunia bagi atlit dengan Keperluan Sokongan Tinggi.

Lebih membanggakan lagi, Cik Yip adalah antara empat penerima anugerah itu dan merupakan satu-satunya dari Asia.

Cheyenne Goh wakil pertama S’pura di Sukan Olimpik Musim Sejuk

Buat julung-julung kalinya, Singapura menghantar wakil ke Sukan Olimpik Musim Sejuk pada awal tahun 2018.

Peluncur ais laju tanah air, Cheyenne Goh membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang pada 17 Februari lalu.


Cheyenne Goh berlatih untuk bertanding di Sukan Olimpik Musim Sejuk. (Gambar: Singapore National Olympic Council)

Meskipun gagal mara ke peringkat separuh akhir acara balapan pendek 1,500 meter, atlit yang baru berusia 19 tahun itu berjaya mencipta sejarah sebagai rakyat Singapura yang pertama untuk bertanding di temasya berprestij itu.

Cheyenne melayakkan diri ke Korea Selatan selepas menamatkan siri Piala Dunia Meluncur Laju Balapan Pendek Kesatuan Meluncur Antarabangsa (ISU) di kedudukan 36 terbaik dunia.

Ternyata, keputusan anak muda yang menetap di Kanada itu untuk menangguhkan pengajiannya di Sekolah Tinggi Komposit Leduc selama setahun untuk berlatih sepenuh masa membuahkan hasil.

Malah, beliau mengorak langkah bagi generasi pelapis negara dengan mencipta nama dalam arena yang tidak pernah dipelopori sebelum ini.

Ini lebih-lebih lagi selepas Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) diberi penghargaan atas penampilan Cheyenne di Pyeongchang dengan penyampaian diploma Persatuan Majlis Olimpik Kebangsaan (ANOC) pada November lalu.

Suntikan semangat bagi E-sukan, terus dapat rangsangan

Masa depan mereka yang bergiat dalam sukan elektronik atau e-sukan kelihatan cerah terutamanya selepas ia membuat penampilan pertama sebagai sukan demonstrasi di Sukan Asia 2018.

Malah, baru-baru ini, permohonan rasmi Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) untuk menyertakan e-sukan sebagai acara pingat di Sukan SEA 2019, diluluskan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA).


Salah satu pasukan dari Singapura yang cemerlang di peringkat antarabangsa - Chaos Theory. (Gambar: Chaos Theory)

Perkembangan yang memberangsangkan ini tentunya memberi rangsangan kepada usaha IOC menjadikan e-sukan sebagai acara pingat di Sukan Asia 2022 di China selepas mengiktiraf e-sukan sebagai aktiviti sukan tahun lalu.

Memandangkan e-sukan mempunyai sekitar 250 juta pemain di seluruh dunia dalam pasaran bernilai AS$1 bilion (S$1.3 bilion) setahun dan kian berkembang pesat, banyak pihak sudah mula mempergiatkan usaha mempromosikannya – termasuk Singapura.

Ini lebih-lebih lagi selepas Informatics Academy melancarkan program diploma dalam bidang e-sukan dan reka bentuk permainan Jun lalu dengan pengambilan kohort pertamanya pada bulan September.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Permainan Online dan Sukan Siber (SCOGA) yang turut mengendalikan akademi e-sukan yang disokong oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Meskipun beliau maklum bahawa e-sukan masih belum diterima baik oleh masyarakat, Pengurus Besar Informatics Academy Allan Norton yakin terhadap perkembangan industri tersebut.

"Terdapat beratus-ratus pasukan e-sukan di seluruh dunia. Permintaan bagi industri ini akan terus berkembang,” jamin beliau. 

- BERITAmediacorp/sm

Top