Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Dari kolong blok, Nur Farah Atika bertekad banggakan S’pura dalam penampilan sulung sukan papan selaju Sukan SEA

Sejurus selepas diumumkan bahawa sukan papan selaju akan diperkenalkan di Sukan Olimpik 2020, sukan itu terus mendapat perhatian, lebih-lebih lagi di rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejurus selepas diumumkan bahawa sukan papan selaju akan diperkenalkan di Sukan Olimpik 2020, sukan itu terus mendapat perhatian, lebih-lebih lagi di rantau ini. Sukan Asia misalnya, mula memperkenalkan sukan tersebut pada tahun lalu di Indonesia dan tahun ini pula, ia akan diangkat sebagai salah satu sukan baru yang bakal dipertandingkan di temasya Sukan SEA di Filipina pada lewat bulan ini.

Bagi para penggemar sukan berkenaan di sini, pastinya ia satu perkembangan yang amat dialu-alukan. Singapura meskipun tidak diwakili dalam sukan berkenaan bagi Sukan Asia tahun lalu, akan menampilkan enam atlit yang akan cuba mengharumkan nama negara dalam sukan tersebut di Sukan SEA 2019.

SUKAN PAPAN SELAJU DI SUKAN SEA 2019

Pada Sukan SEA 2019 yang akan dibuka secara rasmi minggu depan (30 November 2019), sebanyak 24 pingat akan menjadi rebutan menerusi empat acara iaitu ‘Street’, ‘Park’, ‘Downhill’ dan ‘Game of Skate’. Acara-acara ini akan diadakan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Singapura akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu ‘Street’, ‘Park’ dan ‘Game of Skate’.

Jurulatih pasukan Singapura, Ali Halil menjelaskan, “Bagi acara ‘Street’, anda akan melihat para atlit meluncur di palang, belebas dan sebagainya seperti meluncur pada apa yang anda selalu nampak di tempat laluan jalan. Untuk ‘Park’, dia seperti kawah di mana anda akan lihat para atlit meluncur dan membuat aksi “terbang” dan sebagainya. Bagi ‘Game of Skate’, anda akan diberi lima abjad, S-K-A-T-E. Anda akan dipadankan dengan seorang lawan, dan bila anda boleh lakukan sesuatu aksi secara berjaya, lawan anda akan mendapat satu abjad, ‘S’ misalnya. Bagi pemain yang mendapatkan kesemua lima abjad itu dahulu, dia akan tersingkir. Jadi akhirnya, tinggal dua pemain sahaja.”

Antara bintang papan selaju yang akan menjadi tumpuan ramai di Sukan SEA 2019 adalah pemenang pingat perak Sukan Asia yang lalu iaitu Sanggoe Dharma Tanjung dari Indonesia. Sanggoe dikalahkan Ike Keyaki dari Jepun. Dengan ketiadaan Jepun dalam temasya serantau ini, Sanggoe adalah antara yang paling berpotensi meraih pingat emas dalam sukan ini.

Bagi pasukan Singapura pula, jurulatih Ali menyifatkan pasukan dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia sebagai pesaing terdekat mereka.

“Kalau kita dapat satu pingat gangsa, itu sudah cukup menggembirakan kita kerana susah untuk kita. Pasukan dari negara-negara lain sudah lama berlatih. Kita baru mula berlatih empat bulan dan untuk saya melatih aspek fizikal para atlit kita amat sukar. Mereka semua bekerja dan bersekolah, ada yang masih lagi dalam perkhidmatan negara. Hendak dapatkan surat kebenaran untuk keluar sahaja amat susah,” keluh Ali.

ATLIT WANITA DALAM SUKAN PAPAN SELAJU

Lebih menarik lagi, pasukan Singapura akan diwakili oleh dua atlit wanita. Walaupun di Singapura, sukan ini masih lagi didominasi oleh kaum lelaki, namun semakin ramai wanita kian menunjukkan minat terhadap sukan ini. Salah seorang daripada mereka ialah Nur Farah Atika Abdullah, 21 tahun.

Farah mula “tersangkut” dengan sukan ini sejak berusia 14 tahun lagi. Ketika mengongsi pengalaman lucunya itu, Farah turut menceritakan bahawa minat terhadap sukan lasak itu mula berputik di bawah kolong blok dan secara kebetulan, kawannya memiliki papan selaju. Dari bawah kolong blok, Farah yang sedang menuntut di ITE bakal mengibarkan bendera negara di pentas antarabangsa tidak lama lagi dalam Sukan SEA Manila.

(Gambar; BERIAmediacorp)

Apabila ditanya tentang penerimaan keluarga akan pelibatannya dalam sukan yang jarang disertai oleh kaum hawa itu, Farah memberitahu, “Reaksi keluarga, saya ini macam “tomboy”, mana ciri-ciri perempuannya. Mereka tak suka kerana banyak luka di tangan bila jatuh and mereka pada mulanya tak galakkan tapi lama-lama tahun ini saya meluncur, saya menang pertandingan, dapat duit sana sini, baru mereka beri galakan. Bila mereka tahu saya akan wakili negara di Sukan SEA, mereka rasa bangga!”

Namun, Farah kini perlu mencatur langkahnya dengan bijak bagi mengimbangi antara tuntutan sukan kegemarannya itu dengan pelajaran dan kerja sambilannya.
Seperti atlit lain, Farah cuba berlatih sebanyak mungkin. “Bila waktu sekolah, saya habis pukul lima. Sebelah malam saya akan berlatih. Kalau hari Sabtu, Ahad saya akan berlatih waktu pagi, petang mungkin kerja.”

BUKAN LAGI SUKAN “BUDAK NAKAL”

Farah dan pasukannya bukan sahaja gembira, malah rasa bangga apabila sukan yang digemari mereka itu diberi pengiktirafan di peringkat pertandingan antarabangsa yang melibatkan sukan-sukan lain. Kalau dulu hanya dianggap sebagai permainan bawah kolong blok dan dikaitkan dengan budak-budak nakal, mereka bersyukur melihat perkembangan sukan itu diangkat sebagai sukan profesional.

Jurulatih sukan papan selaju sepenuh masa, Ali Halil mengimbas kembali zaman remajanya dahulu semasa mula berjinak-jinak bermain papan selaju. “Dulu kami meluncur papan selaju di tepi jalan, di kolong blok, dikejar oleh pengawal keselamatan dan polis, disaman dan kadangkala papan selaju kami dirampas”. Ali berbesar melihat penerimaan yang semakin meningkat bagi sukan itu sekarang.

Bagi Farah pula, dia cuba mengubah imej pemain papan selaju dengan menjadi peran contoh yang baik setelah melihat banyak manfaat pada sukan itu. “Kalau boleh, saya akan cuba beri gambaran yang lain. Skater di Singapura ini sebenarnya orangnya baik dan ada rasa hormat pada semua orang. Saya cuma harap orang di luar sana tengok kami ini boleh bawa sukan ini lebih jauh dan juga sukan ini bagus untuk kita punya pendirian dan jasmani kita.”

SEMOGA LEBIH BANYAK SOKONGAN DIBERIKAN

Berbanding waktu dahulu, jurulatih Ali yang berusia 32 tahun kini gembira melihat sokongan dan prasarana yang dibangunkan pemerintah bagi menggalak sukan ini. Ali juga dapat melihat sendiri betapa minat terhadap sukan ini semakin meningkat dalam kalangan penduduk tempatan.

Selain menyifatkannya sebagai satu cabang sukan, jurulatih Ali juga menganggapnya sebagi satu wadah untuk mengalihkan tumpuan para belia daripada anasir-anasir yang merugikan: “Adanya prasarana seperti Skate Park ini untuk kami berlatih, ia amat baik kerana dapat menarik para belia kita daripada perbuatan tidak elok seperti dadah dan sebagainya. Ia satu landasan alternatif yang baik untuk mereka beri tumpuan daripada sertai kumpulan-kumpulan samseng dan sebagainya.”

Sungguhpun demikian, para penggiat sukan ini turut berharap agar lebih banyak sokongan dapat diberikan untuk mengembangkan lagi sukan tersebut.

“Antara cabaran untuk kita berlatih adalah cuaca. Kemudahan kita sudah ada seperti di East Coast dan Somerset tetapi kadangkala cuaca tak mengizinkan. Bila hujan dan panas terik, kita tak boleh berlatih. Kadang-kadang bila dah sampai, hujan pula. Jadi sekiranya ada kemudahan berlatih dalam bangunan atau ada kanopi sebagai perlindungan, ia amat dihargai! Dengan kemudahan yang baik, para atlit kita boleh berlatih dan pergi lebih jauh,” jelas Ali.

Para atlit papan selaju Singapura akan mula beraksi di Tagaytay Skatepark, Filipina pada 3 Disember ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan