Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Dahulu mangsa buli, Putri Shamsuri kini temui kekuatan diri melalui MMA

“Kau biar betul? Kau dahlah kecil!”, begitulah ejekan melemahkan semangat yang dilemparkan terhadap Putri Siti Nur Farhani Shamsuri ketika pertama kali menzahirkan niatnya untuk menceburi seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) kepada keluarga dan rakan-rakannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Dahulu mangsa buli, Putri Shamsuri kini temui kekuatan diri melalui MMA

Putri Siti Nur Farhani Shamsuri (Gambar: Mediacorp)

BERITAmediacorp: “Kau biar betul? Kau dahlah kecil!”

Ejekan yang melemahkan semangat seperti ini dilemparkan terhadap Putri Siti Nur Farhani Shamsuri ketika pertama kali menzahirkan niatnya untuk menceburi seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) kepada keluarga dan rakan-rakannya.

Namun, dalam masa kurang dua tahun sahaja, pelajar berusia 20 tahun itu sudah ‘tunjuk belang’ dengan merangkul kedudukan tiga tangga teratas dalam ketiga-tiga kejohanan Brazilian Jiu Jitsu yang ditandinginya sejauh ini.

Menurut Putri, kata-kata negatif kini menjadi pembakar semangat untuknya yang sudah lali dengan ejekan dek dibuli sejak di bangku sekolah lagi.

“Sejak di sekolah rendah lagi, saya sering dipandang serong oleh ramai orang kerana tubuh badan saya yang besar dan pendek. Sering kali, bila saya berjalan di kawasan sekolah, ada yang akan memanggil saya ‘Eh Pendek!’ atau ‘Eh Kecil!’. Ada juga yang akan bersiul dan mentertawakan saya bersama kawan-kawan mereka,” kongsi beliau.

Dipersenda dan dipulaukan, Putri dahulu lebih gemar bersendirian dan hanya mempunyai seorang kawan rapat. Pengalaman dibuli turut menjejas harga diri beliau dan Putri sering menundukkan kepala ketika berjalan di depan khalayak ramai.

MMA BINA KEMBALI KEYAKINAN DIRI

Namun, segalanya berubah setelah beliau mula berjinak-jinak dengan MMA.

Apa yang dahulu dianggap sebagai satu kekurangan, saiz badan Putri yang kecil dengan ketinggian hanya 1.42 meter dan berat badan 48.5 kilogram sebaliknya kini menjadi kelebihannya dalam gelanggang.

Putri Siti Nur Farhani Shamsuri (Gambar: BERITAmediacorp)

Menurut Putri, seni Brazilian Jiu Jitsu (BJJ) yang diceburinya banyak menggunakan aksi bergelut (grappling) di atas lantai dan ini membolehkannya mengalahkan lawan yang jauh lebih tinggi daripadanya.

Putri yang kini memegang tali pinggang biru BJJ berjaya meraih pingat gangsa dalam kedua-dua kejohanan - Singapore BJJ Open 2 dan Bushido Fight Series - serta pingat perak semasa bertarung di Dumau Singapore International Finals.

Prestasi beliau yang tinggi serta kata-kata dorongan daripada jurulatih dan rakan-rakan seperjuangannya telah banyak membantu Putri untuk membina kembali keyakinan diri.

SASAR BERTANDING DALAM GELANGGANG MMA

Selain BJJ, Putri turut menjalani latihan Muay Thai di bawah bimbingan para jurulatih Evolve MMA yang juga merupakan jaguh-jaguh dunia daripada pelbagai disiplin.

Anak bongsu empat adik-beradik itu menunjukkan komitmen yang tinggi dengan meluangkan masa enam hari seminggu untuk menghadiri sesi-sesi latihan. Ini disamping mengikuti kursus Diploma Kejururawatan di Politeknik Nanyang (NYP) sebagai pelajar tahun kedua.

Putri Siti Nur Farhani Shamsuri (Gambar: BERITAmediacorp)

Apabila ditanya jika beliau ingin menceburi bidang MMA secara profesional setelah tamat pengajiannya, Putri mengakui bahawa beliau tidak mempunyai cita-cita seperti itu buat masa ini. Walaupun mengimpikan peluang untuk bertarung dalam gelanggang MMA satu hari nanti, Putri buat masa ini setakat ingin meneruskan perjalanan MMAnya sebagai hobi sahaja.

“Aspirasi saya di masa hadapan adalah untuk berjuang dalam Brazilian Jiu Jitsu dan mendapatkan tali pinggang hitam saya dan mungkin satu hari nanti, saya ingin bertanding dalam Muay Thai juga,” kongsi beliau sebelum menamatkan wawancara eksklusif ini bersama BERITAmediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan