Images
  • cristiano
    (Gambar: ITV)

Cristiano Ronaldo cari pekerja McDonald's yang beri burger percuma kepadanya semasa kecil

LONDON: Dalam wawancara bersama rancangan televisyen Britain ITV, pemain bola sepak terkenal Cristiano Ronaldo mendedahkan bahawa beliau pernah mengemis meminta makanan semasa kanak-kanak dahulu.

Setiap kali tamat latihan bola sepak, Cristiano bersama rakan-rakannya dari pasukan Sporting Lisbon akan ke restoran McDonald's yang terletak berhampiran untuk meminta makanan.

Menurut Cristiano, seorang pekerja McDonald's yang bernama Edna dan dua lagi pekerja restoran makanan segera itu akan memberikan mereka burger secara percuma.

Bagi membalas budi mereka, Cristiano berhasrat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga wanita itu dan mempelawa mereka ke Turin atau Lisbon untuk makan malam bersamanya.

Tidak lama selepas Cristiano menyatakan hasratnya itu, seorang wanita tampil untuk mengatakan bahawa beliau adalah salah seorang daripada tiga wanita itu.


Wanita yang bernama Paula Leca itu memberitahu sebuah stesen radio di Portugal bahawa Cristiano dan rakan-rakannya akan berdiri di hadapan restoran itu dan beliau akan memberikan mereka burger secara percuma jika ada lebihan.

"Salah seorang daripada mereka ialah Cristiano Ronaldo yang mungkin paling penakut daripada kumpulan itu. Ini berlaku hampir setiap malam," kata Paula.

Menurut Paula, beliau pernah memberitahu anak lelakinya mengenai perkara itu, namun beliau tidak mempercayainya kerana tidak dapat membayangkan ibunya memberikan burger kepada Cristiano Ronaldo.

Hakikatnya, Cristiano amat berterima kasih dan sentiasa mengenang jasa Paula dan rakan-rakan sekerjanya.

Ini jelas menunjukkan sikap rendah diri pemain bola sepak itu.

Paula juga ada mengatakan bahawa beliau bersedia menerima undangan makan malam bersama Cristiano Ronaldo.

- Agensi berita/HA/ha

Top