Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

COVID-19: UK uji alat bantuan pernafasan baru

Satu versi baru alat bantuan pernafasan yang dapat membantu pesakit virus korona COVID-19 dibangunkan dalam masa kurang seminggu oleh sebuah pasukan yang turut membabitkan pasukan Formula One Mercedes, dan ia sedang diuji di hospital-hospital di London.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: UK uji alat bantuan pernafasan baru

Gambar fail seorang pekerja kesihatan di wad ICU rawatan pesakit COVID-19 (Gambar: Reuters/Flavio Lo Scalzo)

Diterbitkan : 30 Mar 2020 04:12PM Dikemas Kini : 30 Mar 2020 04:27PM

LONDON: Satu versi baru alat bantuan pernafasan yang dapat membantu pesakit virus korona COVID-19 dibangunkan dalam masa kurang seminggu oleh sebuah pasukan yang turut membabitkan pasukan Formula One Mercedes, dan ia sedang diuji di hospital-hospital di London.

Peranti Tekanan Positif Udara Berterusan (CPAP) sudah digunakan di China dan Itali bagi menyalurkan udara dan oksigen di bawah tekanan kepada paru-paru pesakit untuk membantu mereka bernafas tanpa perlu menggunakan alat bantuan pernafasan atau ventilator, suatu proses yang lebih invasif.

CPAP baru itu sudah diluluskan oleh pengawal selia berkaitan dan kini 100 mesin sedemikian akan dihantar ke Hospital Universiti College London (UCLH) untuk ujian, sebelum dilancarkan ke hospital lain.

Laporan dari Itali menunjukkan sekitar 50 peratus pesakit yang diberikan CPAP tidak perlu menggunakan mesin bantuan bernafas mekanikal yang invasif, termasuk membabitkan pesakit perlu diberi ubat bius. Dengan adanya alat baru itu, ventilator sedia ada boleh digunakan oleh mereka yang lebih memerlukan.

"Peranti ini akan membantu menyelamatkan nyawa dengan memastikan ventilator yang sumbernya terhad, hanya digunakan untuk penyakit yang paling teruk,"kata Perunding Penjagaan Kritikal UCLH, Professor Mervyn Singer dalam satu kenyataan pada hari ini (30 Mac).

"Kami berharap mereka akan memberi perbezaan besar kepada hospital-hospital di seluruh UK, dengan mengurangkan permintaan terhadap kakitangan dan katil rawat intensif, serta membantu pesakit pulih tanpa memerlukan bantuan pernafasan yang lebih invasif."

Alat bantuan pernafasan yang baru itu dibangunkan oleh jurutera dan doktor di UCLH bersama dengan Mercedes-AMG High Performance Powertrains yang bekerja di hab MechSpace UCL.

Seluruh proses menghasilkan peranti itu mengambil masa kurang daripada 100 jam dari pertemuan awal hingga pengeluaran yang pertama. Pasukan yang turut terbabit ialah Oxford Optronix, sebuah syarikat kecil yang akan menghasilkan monitor oksigen untuk peranti CPAP. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan