Images
  • afc
    Perlawanan bola sepak antara China dengan Iran di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi pada 24 Jan 2019. (Gambar: Roslan Rahman)

China tuan rumah bola sepak Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebulat suara memilih China sebagai tuan rumah kejohanan Piala Asia 2023 apabila negara itu menjadi satu-satunya negara membuat bidaan rasmi untuk mendapatkan hak penganjuran kejohanan berprestij itu.

Keputusan pemilihan tuan rumah itu diumumkan pada Kongres Luar Biasa AFC yang berlangsung di Paris hari ini (4 Jun), selepas Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menarik diri daripada pembidaan tersebut.

Ini merupakan kali kedua China menjadi tuan rumah kejohanan tersebut selepas edisi ke-13 pada 2004 ketika penyertaan pasukan diperluaskan kepada 16 pasukan buat kali pertama sebelum ditambah kepada 24 pasukan pada edisi lalu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal tahun ini.

AFC menyatakan China mencadangkan untuk membina stadium baru di sembilan daripada 12 bandar raya tuan rumah Piala Asia 2023 sebagai sebahagian daripada cita-cita jangka panjang negara itu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA.

Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, berkata Piala Asia akan menjadi platform untuk kebangkitan dan potensi pasukan China pada masa depan.

PELANTIKAN JAWATANKUASA AFC

Selain itu, ia juga menyediakan China dengan kemudahan dan infrastruktur yang cukup hebat untuk menganjurkan pertanding bola sepak serta meletakkannya sebagai sukan nombor satu di negara itu, katanya.

Tambah Encik Salman, badan bola sepak serantau itu berharap penganjuran kejohanan di China akan menandakan pertumbuhan hak komersil di era baru di mana syarikat terkemuka China, DDMC Fortis, menjadi wakil komersil eksklusif AFC.

Dalam pada itu, AFC juga melantik Encik Lim Kia Tong dari Singapura selaku Pengerusi jawatankuasa Disiplin dan Etika, Kawalan dan Jawatankuasa Rayuan untuk tempoh empat tahun.

Pemilihan anggota jawatankuasa tersebut menyaksikan pegawai Malaysia, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dan Saaran Nadarajah masing-masing dipilih timbalan pengerusi ketiga Jawatankuasa Kawalan dan anggota Jawatankuasa Rayuan.

JAWATANKUASA DISIPLIN & ETIKA AFC

Pengerusi: Lim Kia Tong (Singapura)
Timbalan: Shen Rui (China)
Ahli:
Tim Holden (Australia)
Yusuf Mohamed Yaqoob Yaqoobi (Bahrain)
Kengo Harima (Jepun)
Khaled J Al Zamel (Kuwait)
Ismail Zumayl Rasheed (Maldives)
Atty. Guillermo B. Iroy Jr. (Filipina)
Yaseer H. Al-Misehal (Arab Saudi)

JAWATANKUASA KAWALAN AFC

Pengerusi: Liu Chi (China)
Timbalan Pengerusi:
1. Judge Rauf Soulio (Australia)
2. Ahmadreza Barati (Iran)
3. Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (Malaysia)
4. Dr. Khaled Hassan S. Banaser (Arab Saudi)

JAWATANKUASA RAYUAN AFC

Pengerusi: Jahangir Baglari (Iran)
Timbalan: Salman A. Al-Ansari (Qatar)
Ahli:
Dong-Ho Lim (Korea Selatan)
Saaran Nadarajah (Malaysia)
Syed Nayyar Hasnain Haider (Pakistan)
Nguyen Thi My Dzung (Vietnam) 

- BERNAMA/AQ/aq

Top