Images
  • Frank Lampard
    Gambar fail Pengurus Chelsea Frank Lampard. (Gambar: REUTERS/Dylan Martinez)

Chelsea pecat Lampard, bekas pengurus PSG Tuchel disebut bakal jadi pengganti

LONDON: Chelsea memecat pengurusnya Frank Lampard selepas 18 bulan menerajui kelab itu susulan prestasi hambar di saingan Liga Perdana England (EPL).

"Ini adalah keputusan yang sangat sukar bagi kelab kerana saya mempunyai hubungan peribadi yang baik bersama Frank dan sangat menghormatinya," kata pemilik kelab Roman Abramovich.

"Beliau adalah seorang yang berintegriti tinggi dan mempunyai etika kerja yang sangat baik. Namun, dalam keadaan sekarang, kami percaya ini adalah langkah terbaik untuk menukar pengurus."

Bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel dilaporkan akan mengambil alih tugas Lampard di Stamford Bridge.

Chelsea bergelut di tangga kesembilan dalam kedudukan EPL dengan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.

Mereka kalah dalam lima daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana selepas memulakan kempen dengan baik.

Lampard, menandatangani kontrak tiga tahun pada Julai 2019 dan berjaya membawa Chelsea ke kedudukan empat teratas dan final Piala FA dalam musim pertama pada 2019-20.

Namun, beliau gagal mendapat hasil yang diharapkan dari skuadnya walaupun kelab itu menghabiskan lebih £220 juta (S$399 juta) musim ini.

Semalam, Chelsea menewaskan Luton Town 3-1 untuk mara ke pusingan kelima Piala FA.

- AFP/SU/nk

Top