Images
  • reece james
    (Gambar: Reuters)

Chelsea kutuk serangan perkauman online terhadap Reece James

REUTERS: Chelsea mengutuk serangan online bersifat perkauman terhadap pemain pertahanan Reece James dan menyeru wadah-wadah media sosial supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap para pengguna yang terlibat dalam "kelakuan keji" sedemikian.

Pemain antarabangsa England, James memuat naik petikan skrin mesej-mesej hinaan yang diterima di Instagram dengan membubuh keterangan gambar "sesuatu perlu berubah".

"Semua orang di Chelsea mengutuk serangan bersifat perkauman yang diterima oleh Reece James di media sosial pada Jumaat (29 Jan)," menurut kelab Liga Perdana itu dalam satu kenyataan.

"Kelab ini menganggap bahawa perkauman dan segala bentuk tingkah laku diskriminasi tidak boleh diterima."

Pemain tengah West Brom Romaine Sawyers dan pemain Manchester United Axel Tuanzebe dan Anthony Martial juga menjadi mangsa serangan perkauman online minggu ini.

Chelsea menyatakan media sosial mesti mewujudkan sekitaran yang menolak tindakan menghina dan diskriminasi.

"Kami turut bersuara bersama mereka yang mendesak wadah-wadah media sosial dan pihak berkuasa pengawalseliaan supaya mengambil tindakan lebih tegas, berkesan dan mendesak terhadap kelakuan keji ini," menurut Chelsea.

"Sesuatu perlu berubah dan ia perlu berubah sekarang."

Para menteri pemerintah UK bertemu dengan pemain bola sepak utama England pada Isnin (25 Jan) bagi membincangkan tentang serangan diskriminasi online sebagai sebahagian daripada siri perbincangan "Future of Football" (Masa Hadapan Bola Sepak).

- Reuters/HA/ha

Top