Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Brunei DPMM tarik diri daripada baki saingan Liga Perdana S'pura

Juara bertahan, Brunei DPMM tidak akan meneruskan saingan dalam baki musim Liga Perdana Singapura (SPL) tahun ini, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Isnin (26 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Brunei DPMM tarik diri daripada baki saingan Liga Perdana S'pura

Perlawanan bola sepak antara Brunei DPMM dengan Warriors FC (Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 26 Oct 2020 09:02PM Dikemas Kini : 26 Oct 2020 09:34PM

SINGAPURA: Juara bertahan, Brunei DPMM tidak akan meneruskan saingan dalam baki musim Liga Perdana Singapura (SPL) tahun ini, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Isnin (26 Okt).

"Kami dimaklumkan baru-baru ini oleh DPMM FC bahawa mereka tidak dapat menyertai perlawanan akan datang kerana tiada pengaturan di Brunei sekarang yang membenarkan mereka melakukan perjalanan ke Singapura," kata FAS dalam satu kenyataan media.

"Sekarang ini juga tiada pengesahan bila perjalanan boleh disambung, kerana keadaan COVID-19 yang berubah-ubah di seluruh dunia."

FAS menyatakan bahawa bersama kelab itu, pihaknya "sedaya upaya" meneroka aturan yang memuaskan bagi kedua-dua pihak bagi penyertaan pasukan tersebut dalam SPL.

"Keadaan sekarang malang, tetapi FAS menghargai bahawa DPMM FC telah melakukan sedaya upayanya untuk menyambung saingan dalam SPL tetapi harus mematuhi dasar nasional Brunei yang ditetapkan untuk membendung virus itu," tambah kenyataan itu.

SPL disambung semula pada 17 Oktober setelah hampir tujuh bulan digantung kerana pandemik COVID-19.

Perlawanan buat masa ini dimainkan secara tertutup dan para penyokong hanya dapat menonton perlawanan menerusi penstriman langsung dan saluran penyiaran terpilih, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia awal bulan ini.

"Oleh kerana adalah penting bagi FAS memastikan bahawa musim SPL 2020 boleh diteruskan agar Liga tamat tepat pada waktunya untuk para wakil Singapura bagi persaingan-persaingan kelab Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 2021 ditentukan, FAS akan meneruskan baki musim SPL 2020 tanpa juara bertahan itu," tambah kenyataan tersebut pada Isnin.

Presiden FAS Lim Kia Tong mengambil perhatian bahawa sungguhpun demikian, DPMM tetap menjadi sebahagian "penting" liga tersebut.

DPMM menjulang kejuaraan liga sebanyak dua kali, dan menjadi naib juara juga sebanyak dua kali.

Pengurus Besar DPMM Ali Haji Momin berkata meskipun kelab itu telah melakukan "usaha terbaik", sekatan perjalanan yang dilaksanak tidak membolehkan pasukan itu menyertai liga tersebut.

Dengan keputusan DPMM menarik diri, satu-satunya perlawanan yang dimenangi kelab itu menentang Tampines Rovers pada 6 Mac akan terbatal, dengan baki 37 perlawanan dalam musim ini sebelum penghujung tahun, kata FAS.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan