Images
  • olympic rings japan
    (Gambar: Reuters/Kyodo)

Britain lancar talian aduan buli bagi atlit Sukan Olimpik Tokyo

REUTERS: Para atlit Britain yang akan bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun ini akan dapat membuat aduan mengenai keprihatinan tentang penderaan fizikal mahupun psikologi menerusi khidmat talian bebas.

Demikian menurut Ketua Eksekutif Persatuan Olimpik Britain, Andy Anson.

Langkah itu dibuat selepas 17 bekas ahli gimnastik di Britain memfailkan tuntutan mahkamah secara berkumpulan pada bulan lalu terhadap badan pentadbir Gimnastik Britain dan mendakwa berlaku pelbagai penderaan.

Kumpulan itu, yang terdiri daripada tiga atlit Olimpik, menyerahkan "Surat Tuntutan" kepada badan tersebut, sambil mendakwa berlaku penderaan fizikal dan psikologi daripada para jurulatih.

"Salah satu perkara yang kami mahu pastikan apabila berada di Tokyo adalah supaya setiap atlit tahu siapa yang boleh mereka hubungi jika terdapat sebarang isu dalam persekitaran tersebut," Encik Anson memberitahu The Mail hari ini (21 Mac).

"Ia bukan pengurus mereka tetapi seseorang dari luar. Ia tidak boleh seseorang dalam struktur pengurusan."

Tahun lalu, pemenang pingat gimnastik Olimpik Britain, Amy Tinkler dan beberapa atlit lain juga mengongsi pengalaman mereka dengan Gimnastik Britain, menuduh para jurulatih membuli dan "memalukan" mereka.

"Perlu ada talian hotline bebas yang boleh dihubungi tanpa rasa bimbang berlaku tuduh-menuduh dan ini sangat penting," tambah Anson.

"Kita boleh lakar semua dasar dan prosedur di dunia tetapi jika ia tidak dikuatkuasakan atau jika para atlit tidak berasa kami di pihak mereka, maka itu ia sesuatu yang tidak wajar."

- Reuters/NK/nk

Top