Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Borussia Dortmund, LaLiga 'rakan strategik' projek bola sepak S'pura

Kelab bola sepak Jerman, Borussia Dortmund dan Liga Bola Sepak Sepanyol (LaLiga) bersetuju untuk menyertai projek bagi mengembangkan lagi bola sepak Singapura sebagai "rakan strategik" projek tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Borussia Dortmund, LaLiga 'rakan strategik' projek bola sepak S'pura

Gambar fail: FAS

Diterbitkan : 19 Nov 2021 07:45PM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 07:47PM

SINGAPURA: Kelab bola sepak Jerman, Borussia Dortmund dan Liga Bola Sepak Sepanyol (LaLiga) bersetuju untuk menyertai projek bagi mengembangkan lagi bola sepak Singapura sebagai "rakan strategik" projek tersebut.

Demikian diumumkan oleh Sport Singapore (SportSG) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (19 Nov). Ia turut menyatakan bahawa Dortmund dan LaLiga akan menawarkan kepakaran dalam bidang-bidang seperti pembangunan belia, jurulatih dan sains sukan.

Pihak-pihak tersebut juga akan membantu mendapatkan peluang untuk berlatih di luar negara bagi "bakat-bakat paling menyerlah dan terbaik Singapura".

Para jurulatih LaLiga pula akan membantu membimbing "penyandang jawatan utama" bersama para jurulatih tempatan daripada 10 Academi Bola Sepak Sekolah (SFA) yang baru dilancarkan manakala Dortmund akan mengongsi kepakaran untuk membangunkan program pembangunan jurulatih di bawah projek nasional "Unleash the Roar", menurut SportSG dan FAS.

Kerjasama itu berkuat kuasa serta-merta dan akan menyaksikan para jurulatih belia LaLiga dan pakar sukan menggalas peranan-peranan penting SFA yang dipertingkatkan menjelang suku pertama 2022.

"Ini adalah satu langkah besar bagi projek 'Unleash The Roar!'. Demi mempertingkatkan prestasi bola sepak Singapura untuk bermain di peringkat paling tinggi, kita mesti terlebih dahulu membina asas yang kukuh," kata Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Eric Chua.

"Inisiatif-inisiatif yang diumumkan hari ini bukan saja akan membolehkan bakat-bakat muda terbaik kita mendapat akses kepada latihan dan pertandingan peringkat tinggi setiap hari tetapi juga memberi laluan kepada mereka untuk mempertingkatkan prestasi di antara institut-institut bola sepak terbaik di luar negara."

Encik Chua akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa eksekutif bagi projek itu.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada 13 anggota dan empat anggota dilantik dan ia bertanggungjawab "melakar strategi, merancang, membangunkan dan menyelia" pelaksanaan projek tersebut.

Projek berkenaan diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) awal tahun ini.

Pelaksanaan itu akan menumpukan perhatian kepada lapan "tunggak" yang melibatkan inisiatif-inisiatif seperti FAS menubuhkan Kurikulum Bola Sepak Nasional yang diselaraskan bagi kegiatan-kegiatan luar darjah (CCA) untuk bola sepak di sekolah rendah.

"Penting untuk kita memulakan perjalanan UTR! dengan rakan-rakan yang betul yang benar-benar memahami nilai yang dibawa kepada projek nasional ini agar asasnya kukuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SportSG Lim Teck Tin yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa eksekutif itu.

"Projek UTR! adalah usaha bersama, dengan sokongan daripada sektor awam-swasta-orang ramai untuk membantu kita mencapai matlamat kita. Kita bertuah kerana menemui rakan sepasukan yang baik dalam Kementerian Pendidikan (MOE), rakan antarabangsa kita dan EXCO kita."

AKADEMI BARU BOLA SEPAK

Salah satu "bahagian utama" projek itu adalah pembangunan pemain belia, menurut SportSG dan FAS.

10 SFA merata Singapura akan mula dilancarkan mulai Januari tahun depan. Kumpulan pertama sekolah SFA termasuk Sekolah Menengah Montfort, Sekolah Menengah Queensway, Sekolah St Patrick's dan Sekolah Menengah Jurongville, umum SportSG dan FAS.

Setiap sekolah akan menampilkan pemain-pemain lelaki SFA manakala projek 'Unleash the Roar' pula sedang bekerjasama dengan MOE untuk menubuhkan SFA bagi para pemain perempuan.

Program itu akan bermula dengan para pelajar Menengah 1 menjelang 2022 dan akan diperluaskan secara bertahap-tahap untuk merangkumi kesemua empat tahun dalam setiap satu SFA sebelum 2025.

Sekitar 1,400 pemain lelaki dan perempuan dijangka akan menyertai program itu kelak.

"Ini hampir dua kali ganda daripada sejumlah 500 pemain lelaki dan perempuan yang sekarang ini menjalani latihan elit Bawah 15 tahun dan Bawah 17 tahun," tambah SportSG dan FAS.

Salah satu "kunci utama" SFA adalah ia akan melatih para pelajar empat kali seminggu berbanding purata dua kali di sebahagan besar program bola sepak di sekolah menengah.

Para remaja juga akan terlibat dalam pertandingan-pertandingan sepanjang tahun antara SFA, Pusat Pembangunan AFA dan "mungkin juga" akademi-akademi bola sepak swasta mulai 2023.

Program SFA akan merangkumi latihan di padang yang dilengkapi dengan sokongan sains sukan, menurut SportSG dan FAS.

Kesemua pelajar-atlit SFA akan disokong untuk mencapai kecemerlangan akademik dan bola sepak.

"Bahagian utama UTR! adalah pembangunan pemain belia. SFA akan memainkan peranan penting dalam aspek itu.

"Peranan utamanya adalah untuk menyediakan persekitaran selamat dan membina bagi para remaja berbakat menggilap bakat mereka menerusi sistem berstruktur dan bermutu tinggi yang membolehkan mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi mereka," menurut SportSG dan FAS.

Setiap SFA akan menampilkan sebuah pasukan jurulatih sepenuh masa SFA yang terdiri daripada jurulatih LaLiga dan tempatan.

Mereka akan bekerja rapat di bawah pimpinan pengarah teknikal FAS dan ketua Akademi Bola Sepak ActiveSG untuk memastikan program itu berjaya dilaksanakan.

"Kita membentuk SFA dengan mengambil kira para pelajar dan ibu bapa. Kita mahu SFA fokus kepada pembangunan sukan dan menyokong keperluan akademik para pelajar agar mereka mempunyai persekitaran yang selesa untuk mencapai kecemerlangan," kata Timbalan Presiden FAS Bernard Tan yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa eksekutif itu.

"Para ibu bapa tidak perlu bimbang tentang membawa anak mereka ke beberapa lokasi dalam sehari dan boleh rasa tenang kerana keperluan anak-anak mereka akan dijaga dengan lebih baik lagi.

"SFA akan menjadi titik perubahan pembangunan bola sepak remaja kerana ia akan menambah hampir dua kali ganda kohort pemain bola sepak remaja di peringkat tinggi setiap tahun.

"Ini bermakna lebih banyak pilihan bagi para pemilih skuad belia negara dan menjangkaui itu, meningkatkan peluang untuk mencungkil bakat yang boleh mencapai kecemerlangan di pentas lebih besar." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan