Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bolt tidak putus asa kejar kerjaya bola sepak

Legenda pecut Usain Bolt tetap yakin beliau berupaya menjadi pemain bola sepak profesional walaupun percubaannya dengan sebuah kelab Australia kini berakhir tanpa sebarang kontrak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bolt tidak putus asa kejar kerjaya bola sepak

Usain Bolt raikan kemenangan selepas menjaringkan gol bagi pasukan Central Coast Mariners.(Gambar: AFP/Peter Parks)

Diterbitkan : 03 Nov 2018 04:04PM Dikemas Kini : 03 Nov 2018 04:07PM

MELBOURNE: Legenda pecut Usain Bolt tetap yakin beliau berupaya menjadi pemain bola sepak profesional walaupun percubaannya dengan sebuah kelab Australia kini berakhir tanpa sebarang kontrak.

Namun demikian, Bolt nampaknya belum menyerah dan hari ini (3 Nov) menegaskan: "Saya masih ada (keupayaan)."

Tempoh percubaan "tanpa had" juara Olimpik lapan kali itu dengan pasukan A-League Central Coast Mariners berakhir pada Jumaat setelah rundingan antara kedua-dua pihak berakhir tanpa kontrak.

Kelab itu dilaporkan menawarkannya jumlah yang sedikit berbanding AUS$3 juta (S$2.97 juta) yang diminta pengurusnya. Pencarian bagi penaja luar untuk menampung kontrak itu juga gagal.

"Amat menyedihkan rundingannya gagal," warga Jamaica yang memegang rekod dunia bagi acara 100 meter dan 200 meter itu memberitahu akhbar Melbourne Herald Sun.

"Namun kami berpisah secara damai, dan itu suatu perkara yang baik.

"Saya mempunyai pengalaman yang hebat bersama mereka. Anggota pasukan juga hebat - cuma kami tidak dapat mencapai persetujuan berhubung kontrak. Tapi saya berharap ada peluang lain dengan pasukan lain."

Bolt, yang bersara dari sukan olahraga tahun lalu, sudah lama memendam hasrat untuk menjadi pemain bola sepak dan berlatih dengan Mariners sejak Ogos. Kejayaannya mencetuskan dua gol dalam satu perlawanan persahabatan pramusim mencetuskan minat antarabangsa.

Namun kebolehan peminat tegar Manchester United itu dipersoalkan oleh pakar-pakar dan sesetengah pemain. Bolt kini sudah melalui percubaan dengan kelab-kelab di Jerman, Afrika Selatan, Norway dan Australia tanpa sebarang hasil.

Ditanya jika beliau akan terus mengejar impiannya untuk menjadi pemain bola sepak walaupun sekali lagi gagal, pemain berusia 32 tahun itu menjawab "Ya pasti".

"Kita lihat apa yang akan berlaku. Saya rasa masih ada orang menghubungi ejen saya tentang peluang-peluang, jadi kita lihatlah ke mana hala tujunya nanti.

"Bagi saya sendiri, saya pelajari bahawa saya masih mempunyai keupayaan.

"Saya rasa saya sudah banyak perbaiki diri, seperti anda boleh lihat sendiri dari perlawanan pertama hingga yang akhir, saya benar-benar bertambah baik dan bermain lebih baik. Saya belajar bahawa ia sedikit mencabar, namun yang penting adalah dedikasi dan bekerja secara berpasukan."

Bolt baru-baru ini menolak tawaran kontrak tanpa percubaan dari pasukan Valleta dari Malta untuk memberi tumpuan kepada Australia.

Beliau digesa oleh ketua FA Jamaica untuk pulang ke tanah air dan bermain untuk kelab tempatan, dengan kemungkinan dipanggil untuk mewakili pasukan negara. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan