Images
  • d (2)
    (Gambar: Reuters)

Bola sepak: UEFA beri amaran tiket palsu perlawanan akhir Madrid

MADRID: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memberi amaran kepada para penyokong supaya tidak membeli tiket perlawanan daripada penjual tiket haram selepas "sejumlah besar" tiket palsu dijual menjelang aksi perlawanan akhir Liga Juara-Juara membabitkan Liverpool dan Tottenham Hotspur pada Sabtu.

Badan bola sepak Eropah itu menyatakan, beberapa penangkapan sudah dibuat bagi mengatasi situasi berkenaan dan pihaknya juga sudah memulakan prosiding undang-undang terhadap penjual tidak sah.

“UEFA telah mengingatkan para penyokong bahawa tiada tiket individu diedarkan menerusi agensi atau broker dan menggalakkan peminat supaya tidak terpedaya dengan penjual tidak sah yang menuntut harga melampau walaupun biasanya mereka tidak memiliki tiket-tiket yang konnonnya dijual,” menurut UEFA dalam satu kenyataan.

UEFA menyatakan pemilik tiket palsu tidak akan dibenarkan memasuki stadium selepas akhbar The Times melaporkan ratusan penyokong yang membeli tiket daripada laman web jualan semula mendapati tiket mereka bagi perlawanan akhir di Madrid tidak wujud.

“Penjualan tiket kepada orang awam dilakukan secara eksklusif oleh UEFA dan kerana itu, sebarang tiket yang ditawarkan untuk dijual oleh pihak ketiga (termasuk media sosial, laman jual beli dan platform jualan tiket kedua) diiklankan dengan cara yang melanggar syarat dan ketentuan tiket,” menurut UEFA.

- REUTERS/na

Top