Images
  • maurio
    Maurizio Sarri. (Gambar: AFP)

Bola sepak: Sarri tunggu lampu hijau tampil jurulatih Juventus

MILAN: Maurizio Sarri semakin pulih untuk tampil buat pertama kali sebagai jurulatih Juventus di padang sendiri Sabtu ini (31 Ogos), menentang bekas pasukannya Napoli, selepas terlepas aksi pertama musim akibat radang paru-paru.

Juara bertahan lapan kali itu akan mengharungi perlawanan pertama menentang naib juara musim lalu.

Jurulatih berusia 60 tahun itu dilapor mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan tertinggi kelab kerana masih merokok meskipun mengalami masalah kesihatan.

Awal minggu lalu Sarri bergambar bersama para peminat di luar kediamannya sambil memegang sekotak rokok.

Bagaimanapun Sarri masih mengendalikan sesi latihan, dan mula turun ke padang sejak beberapa hari lalu, menurut laporan-laporan di Itali.

Bekas pengurus Chelsea itu berkhidmat bersama Napoli selama tiga musim tanpa merangkul sebarang trofi dan keputusannya menyertai Juventus dilihat sebagai mengkhianati kelab lamanya serta para penyokong.

Sekiranya Sarri masih belum cukup sihat Sabtu ini, ia mungkin memberi peluang buat Napoli kendalian Carlo Ancelotti, yang menang 4-3 ke atas Fiorentina pada aksi pembukaan.

Juventus menang 1-0 ke atas Parma hujung minggu lalu dengan jaringan Cristiano Ronaldo dibatalkan pengadil selepas meneliti ulang tayang.

Pemain baru Napoli dari Mexico, Hirving Lozano bakal turun padang buat pertama kali.

“Saya tahu Juve dan saya tahu betapa bagusnya mereka,” kata bekas pemain sayap PSV Eindhoven, Lozano. “Tetapi rakan sepasukan baru saya juga hebat.

“Saya juga tahu betapa pentingnya apabila menentang mereka. Saya berharap dapat bermain tetapi itu terpulang kepada jurulatih. Saya bersedia dengan sebarang keputusan.”

Pemain baru Juventus Aaron Ramsey masih perlu menunggu untuk mula beraksi di padang buat pertama kalinya, setelah mengalami masalah belakang ketika sesi latihan.

- AFP/NA/na

Top