Images
  • milovan thai
    Milovan Rajevac (Gambar: Reuters)

Bola Sepak Piala Asia: Thailand pecat jurulatih selepas tewas 4-1 kepada India

ABU DHABI: Thailand memutuskan untuk memecat ketua jurulatih Milovan Rajevac selepas pasukan bola sepak negara itu mengalami kekalahan yang memalukan di tangan India dalam perlawanan pembukaan Piala Asia.

Demikian menurut Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) hari ini (7 Jan) selepas pasukan negara itu kecundang 4-1 di tangan India.

Rajevac yang dilantik pada April 2017 semakin tertekan selepas Thailand gagal mempertahankan gelaran juara Piala AFF Suzuki pada Disember lalu.

"Saya dengan rasminya mengumumkan penggantungan kontrak Milovan Rajevac sebagai jurulatih pasukan bola sepak Thailand," dedah Presiden FAT Somyot Poompanmoung dalam kenyataannya.

Penolong Rajevac, Sirisak Yodyardthai, diletakkan sebagai jurulatih sementara, dengan Thailand bakal menentang Bahrain pada Khamis ini.

India mendahului Kumpulan A dengan pungutan tiga mata, sementara Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) terikat satu mata dan Thailand pula menduduki tangga paling corot.

- CNA/TQ/tq

Top