Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Bola sepak: Neville seru boikot media sosial setelah Pogba jadi mangsa perkauman

Pengurus pasukan wanita England, Phil Neville percaya bahawa para pemain bola sepak harus memboikot media sosial ekoran pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, menjadi pemain berprofil tinggi terkini yang dijadikan mangsa perkauman online.

Anggaran Waktu Membaca:
Bola sepak: Neville seru boikot media sosial setelah Pogba jadi mangsa perkauman

Pengurus pasukan wanita England, Phil Neville (Gambar: Philippe Desmazses/AFP)

Diterbitkan : 21 Aug 2019 09:10AM Dikemas Kini : 21 Aug 2019 09:21AM

LONDON: Pengurus pasukan wanita England, Phil Neville percaya bahawa para pemain bola sepak harus memboikot media sosial ekoran pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, menjadi pemain berprofil tinggi terkini yang dijadikan mangsa perkauman online.

Pogba disasarkan selepas tendangan penaltinya diselamatkan dalam perlawanan United yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Wolves pada Isnin, hanya beberapa hari selepas penyerang Chelsea Tammy Abraham mengalami serangan serupa.

"Saya fikir kami mungkin perlu mengambil langkah mendadak kini sebagai sebuah masyarakat penyokong bola sepak - cukuplah apa yang berlaku dengan pemain-pemain saya di media sosial, bintang Liga Perdana dan Kejohanan pun tidak tahan lagi," kata Neville pada Selasa (20 Ogos).

"Saya tertanya-tanya sama ada sebagai komuniti bola sepak haruskah kami tinggalkan media sosial, kerana Twitter tidak akan melakukan apa-apa mengenainya, Instagram tidak melakukan apa-apa mengenainya - mereka menghantar jawapan emel yang mengatakan mereka akan menyiasat tetapi tiada langkah diambil.

"Saya sudah hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap sesiapa yang mentadbir jabatan media sosial ini, oleh itu mari kita menyuarakan mesej yang tegas: berehat daripada media sosial selama enam bulan. Mari lihat kesannya terhadap syarikat-syarikat media sosial ini."

Pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire juga menggesa gergasi media sosial Twitter dan Instagram agar lebih proaktif untuk menghentikan tindakan "troll" atau pembuli online.

Beberapa catatan Twitter berunsur perkauman terhadap Pogba kemudian dipadamkan dan kelihatan begitu juga beberapa akaun.

Syarat dan ketentuan Twitter menyatakan ia akan "mengambil tindakan terhadap kelakuan yang menyasarkan individu dengan kebencian".

United turut menyuarakan rasa "jijik" terhadap serangan tersebut.

"Manchester United tidak bertolak ansur langsung terhadap sebarang bentuk perkauman atau diskriminasi dan telah lama menjalankan komitmen menentangnya menerusi inisiatif #AllRedAreEqual (Semua Merah Setara)."

"Kami akan berusaha mengenalpasti individu-individu terlibat dalam kejadian tersebut dan mengambil tindakan paling tegas. Kami juga menggesa syarikat-syarikat media sosial untuk mengambil tindakan terhadap kes-kes ini."

Badan kebajikan anti-diskriminasi "Kick It Out" menerbitkan satu laporan pada Julai yang menyatakan jumlah kejadian serangan perkauman melonjak 43 peratus musim lalu.

Pada Julai, Chelsea mengharamkan seorang penyokongnya untuk seumur hidup setelah dia mengeluarkan kata-kata perkauman terhadap pemain Manchester City, Raheem Sterling, musim lalu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan