Images
  • fantasy football
    Gambar: Samantha Fuentes

Bola sepak maya versi S'pura ciptaan Jeff Salleh hidupkan semula minat penyokong tempatan

SINGAPURA: Dengan permainan bola sepak fantasi bagi Liga Perdana Singapura (SPL), laman Voiddeck Football yang baru dilancarkan berharap dapat menggalak para penyokong untuk turun padang.

Ini diharap akan merangsang keghairahan dan semangat daya saing menjangkaui perlawanan 90 minit di padang.

Hasil ciptaan jurutera sofwe Encik Jeff Salleh, 44 tahun dan pasukannya seramai enam orang, permainan itu disesuaikan daripada versi rasmi bola sepak fantasi Liga Perdana England (EPL) iaitu Liga Perdana Fantasi (FPL).

Dengan sekitar 7.6 juta pemain sejagat musim lalu, liga fantasi itu menambah kepopularan EPL dengan mendampingi para penyokong pada hari-hari luar perlawanan.

"Jika kita tidak boleh menarik mereka ke stadium, kita boleh memupuk minat terhadap bola sepak tempatan menerusi teknologi," kata Encik Salleh yang membangunkan platform itu pada 2020.

Awalnya beliau memulakan Voiddeck Football sebagai projek pada hujung minggu untuk melatih kemahirannya dalam kejuruteraan sofwe dan mempertingkatkan pengalaman bola sepak tempatan.

Ia mengambil masa selama empat bulan untuk beliau membangunkan versi beta laman itu yang membolehkan para pengguna membuat ramalan keputusan perlawanan dan menilai prestasi para pemain.

Pada April 2021, Encik Jeff Salleh melancarkan perlawanan bola sepak fantasi pula di Voiddeck Football dengan sepasukan penyokong yang dikenali menerusi WhatsApp. Kelab-kelab dan media-media penyokong tempatan membantu menularkan laman itu menerusi catatan-catatan Instagram.

Permainan itu bagaimanapun tidak membawa keuntungan dan dibiayai sepenuhnya oleh Encik Salleh. Tetapi semua orang yang terlibat menyumbang kepada kejayaannya.

Para anggota pengasas membantu dengan meluangkan masa dan membuat kajian manakala para pemain pula membantu melaporkan sebarang kelemahan online.

Permainan strategi online percuma itu membolehkan para peserta merealisasikan impian mereka menjadi seorang pengurus pasukan. Mereka boleh memilih pelbagai pemain daripada lapan kelab tempatan untuk membentuk pasukan idaman seramai 15 anggota.

Markah diberikan berdasarkan prestasi pasukan pada masa nyata. Misalnya, setiap gol yang dijaringkan seorang penyerang pada masa nyata boleh menjamin empat mata bagi peserta alam fantasi itu. Pada setiap hujung minggu, para peserta diberi kedudukan mengikut markah yang diperolehi.

Namun ia bukan mudah.

Para peserta tidak boleh melebihi perbelanjaan S$100 juta dan tidak boleh memilih lebih daripada tiga pemain daripada kelab yang sama.

Mereka juga dikehendaki mematui peraturan pemain bawah usia 23 tahun yang diperkenalkan pada 2018 di mana setiap kelab mesti membariskan tiga pemain bawah usia 23 tahun untuk separuh pertama bagi setiap perlawanan SPL dan pada musim depan pula, hanya seorang pemain bawah 23 tahun.

Buat masa ini, lebih 200 pasukan fantasi sedang berentap untuk memenangi hadiah wang tunai ketiga terbaik sebanyak S$40, S$60 dan S$100 pada akhir musim ini. 

- TODAYonline/SM/sm

Top