Images
  • chelsea barca jepun
    Pemain Chelsea Cesar Azpilicueta menjulang piala selepas kemenangan 2-1 ke atas Barcelona di Saitama, Jepun (Gambar: AP Photo/Eugene Hoshiko)

Bola sepak: Chelsea menang 2-1 ke atas Barcelona dalam perlawanan persahabatan

SAITAMA: Jaringan gol oleh Tammy Abraham dan Ross Barkley membawa kemenangan 2-1 buat Chelsea ke atas Barcelona pada Selasa (23 Jul) dalam satu perlawanan persahabatan di Jepun.

Penyerang Perancis Antoine Griezmann dan bekas pemain tengah Ajax, Frenkie de Jong, membuat penampilan pertama tidak rasmi untuk pasukan gergasi bola sepak Sepanyol itu, yang disambut amat baik oleh 51,100 penyokong mereka.

Penyerang Chelsea, Abraham menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-34 selepas memanfaatkan kesilapan oleh pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets.

Jurulatih Chelsea, Frank Lampard memuji penyerang mudanya itu.

"Tammy, beliau seorang penghasil gol. Beliau benar-benar ingin jaringkan gol," kata beliau.

Meskipun menghadapi penggantungan pemindahan pemain, Lampard berkata dua perlawanan Chelsea di Jepun menunjukkan beliau sedang memimpin pasukan yang "berdaya saing" dan "bertekad kuat".

Barcelona mula mengasak pada separuh kedua perlawanan, terutama menerusi pemain gantian Carles Perez.

Namun penjaga gawang Chelsea, Kepa Arrizabalaga berkali-kali menolak percubaan pasukan lawan untuk menjaringkan sebarang gol.

10 minit sebelum masa penuh, pemain tengah Barkley berjaya menjaringkan gol apabila tendangannya melepasi jangkauan penjaga gawang gantian Neto.

Ivan Rakitic pula menghasilkan gol saguhati buat Barcelona semasa waktu tambahan.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde, turut berkata perlawanan tersebut adalah satu ujian baik yang menunjukkan tanda-tanda baik serta mendedahkan ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

- AFP/TQ/tq

Top