Images
  • la liga barcelona villareal
    Arthur raikan jaringan gol bersama rakan-rakan sepasukan Barcelona (Gambar: Reuters/Albert Gea)

Bola Sepak: Barcelona atasi Villareal 2-1

BARCELONA: Barcelona meraih kemenangan penting di padang sendiri, mengatasi Villareal 2-1 dalam perlawanan La Liga pada Selasa (24 Sep).

Pasukan tuan rumah menunjukkan prestasi baik di peringkat awal dengan menjaringkan kedua-dua gol dalam 15 minit pertama perlawanan, namun jurang mata dirapatkan selepas Santi Cazorla menjaringkan gol sejurus sebelum waktu rehat.

Kemenangan pada Selasa meletakkan Barcelona di tangga keempat liga dengan 10 mata selepas enam perlawanan, iaitu satu mata di belakang Granada, Athletic Bilbao dan Real Madrid.

Bagaimanapun kemenangan itu dibayangi oleh isu yang dialami Lionel Messi. Beliau yang memulakan perlawanan buat kali pertama musim ini, akhirnya digantikan dengan Ousmane Dembele pada waktu rehat untuk mendapatkan rawatan.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde bagaimanapun menegaskan ia bukan kecederaan berat sebaliknya sekadar langkah berhati-hati.

Antoine Griezmann menyambut tendangan sudut dari Messi dan menandukkan gol pembukaan pada minit keenam.

Pemain dari Brazil Arthur Melo menggandakan jaringan dengan tendangan jarak jauh, seolah-olah menebus kekalahan Barca di tangan Granada hujung minggu lalu.

Perlawanan pada Selasa merupakan kali pertama Messi, Griezmann dan Luis Suarez memulakan perlawanan kompetitif bersama untuk kelab itu dan tanda-tanda awalnya menawarkan harapan.

Bagaimanapun rentak permainan pasukan tuan rumah itu semakin perlahan apabila Messi keluar padang pada minit ke-30 untuk menerima rawatan.

Satu tendangan jarak jauh oleh Santi Cazorla melepasi penjaga gawang tuan rumah Marc-Andre ter Stegen dan merapatkan jurang gol sekali gus menghasilkan gol sagu hati bagi Villareal. 

- Reuters/TQ/tq

Top