Images
  • rugbi
    Bintang ragbi Sonny B William sedang membaca doa bersama rakan sepasukan, Ofa Tuungafasi, sebelum memulakan perlawanan menentang Afrika Selatan. (Gambar: faiza_azizan/Instagram)

Bintang ragbi Sonny B William mohon maaf kepada jurugambar atas kesilapan kecil

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh bintang ragbi dunia, Sonny B Williams, kepada seorang jurugambar Malaysia bernama Muhamad Faiz Azizan atas satu kesilapan kecil kini menjadi buah mulut dalam kalangan peminat bintang All Blacks itu tanpa disangka.

Menurut Astro Awani, semuanya tercetus daripada satu salah faham kecil apabila bintang All Blacks berkenaan memuat naik gambar dirinya yang sedang membaca doa bersama rakan sepasukan, Ofa Tuungafasi, sebelum memulakan perlawanan menentang Afrika Selatan.

Sonny memuat naik gambar itu tanpa mengetahui ia sebenarnya gambar yang dirakam oleh Faiz.

Sewaktu dikerahkan ke Jepun pada 19 sehingga 23 September lalu bagi membuat liputan sempena Piala Dunia Ragbi 2019 (RWC2019), Faiz sama sekali tidak menyangka perkara itu menjadi satu insiden yang amat bermakna.

"Rasanya macam tak percayalah (menerima permohonan maaf dari Sonny). Benda ini memang tak dijangkakan seumur hidup. Saya sendiri peminat beliau, terus terang saya peminat beliau.

"Macam.... Allahuakhbar, pemain dengan nama besar boleh minta maaf. Saya nampak beliau memang seorang yang rendah diri," ujar Faiz ketika dihubungi Astro Awani pada Khamis (26 Sep).

Beliau juga berasa amat bernasib baik apabila berpeluang merakam detik itu sedangkan semua jurugambar sedang menunggu aksi persembahan Haka.

“Saya dapat lebih kurang lima hingga enam keping gambar, cuma gambar yang saya muat naik di Instagram menunjukkan bendera New Zealand sedang berkibar.

"Pada awalnya saya hanya menumpukan kepada Ofa, namun secara tiba-tiba kelibat Sonny muncul di atas padang dan saya melangkah beberapa tapak ke hadapan sebelum berjaya merakam momen mereka berdua sedang berdoa," kongsinya.

Gambar berkenaan mula tular di media sosial sebelum Faiz dimaklumkan oleh sahabatnya bahawa imej yang sama dimuat naik ke laman Twitter milik Sonny tanpa sebarang kredit.

Hal itu menyebabkan Faiz bertindak menghantar pesanan peribadi kepada atlit berusia 34 tahun berkenaan, namun tidak berbalas.

“Saya akhirnya membuat laporan kepada Instagram sebelum platform media sosial itu sendiri menurunkan gambar berkenaan daripada akaun Sonny.

“Tindakan itu menyebabkan Sonny berang dan mendakwa ia adalah disebabkan isu Islamofobia, namun sebenarnya ia adalah tentang kesilapan pelanggaran hak cipta,” jelas Faiz.

Perkara yang sebenar terbongkar sebelum Faiz menerima notifikasi permohonan maaf daripada pemain ragbi kelahiran Auckland, New Zealand, berkenaan.

Sebelum ini, Sonny menerusi laman Twitternya memohon maaf selepas dimaklumkan gambar tersebut dimiliki oleh jurugambar berusia 37 tahun itu. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top